Lebih 300 rumah di lima kawasan perumahan dan kampung sekitar bandar Kulim dinaiki air berikutan banjir kilat selepas hujan lebat sejak pukul 4 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim Supt Ghuzlan berkata antara lokasi yang teruk ialah kawasan perumahan awam Taman Seri Kulim, yang melibatkan lebih 200 kediaman dan di mana air naik setinggi 1.2 meter mengakibatkan penduduk terpaksa membawa barangan serta perabot mereka ke tempat lebih tinggi.

 

"Kawasan lain ialah Kampung Padang Tembak dan Kampung Darulaman (Jalan Tunku Bendahara) sekitar bandar ini," katanya kepada Bernama malam ini.

Beliau berkata tiga lagi kawasan yang dilanda banjir kilat ialah Kampung Siam, Kampung Bukit Sarang Ayam dan Jalan Bukit Ladang.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kulim Ahmad Ridwan Yahya berkata 12 anggota balai berkenaan ditugaskan membantu mangsa banjir di Kampung Padang Tembak dan Jalan Bukit Lada sejak 6 petang tadi.

Lebuhraya Kulim-Baling di Kilometer 23 sekitar Kilang Inokom pula terputus hubungan dari pukul 5 petang hingga 8 malam.

Bagaimanapun, banjir sekitar kawasan berkenaan surut dan lalu lintas dari arah Kulim ke Baling kembali pulih.

- Bernama