Sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-56 di seluruh negara hari ini diadakan dengan penuh kemeriahan dengan semangat patriotisme tinggi oleh masyarakat berbilang kaum yang melambangkan kesatuan hati untuk mempertahankan kedaulatan negara.
Bertemakan "Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku", orang ramai membanjiri lokasi utama sambutan di seluruh negara seawal jam 6.30 pagi dengan Dataran Merdeka sahaja mencecah hampir 200,000 rakyat pelbagai lapisan menyertai dan menyaksikan acara penuh bermakna itu.
Berlainan sebelum ini, acara perbarisan dan perarakan tahun ini dikaitkan dengan tema sambutan, yang memberi penghormatan kepada pengorbanan para pejuang menentang pencerobohan di Lahad Datu, Sabah yang mempertahankan kedaulatan negara.
Berkonsepkan Patriotik, Perpaduan dan Kedaulatan Negara, perarakan tahun ini bertujuan menunjukkan bahawa Malaysia adalah negara berdaulat dan rakyat sentiasa sedia mempertahankan kedaulatan negara daripada sebarang pencerobohan.
Di Dataran Merdeka, seramai 15,280 peserta daripada 56 kontinjen menyertai persembahan tahun ini yang melibatkan empat segmen iaitu 'Malaysia Tanah Airku', Kesatuan Rakyat Perpaduan Sejagat, Kemakmuran Negara Kesejahteraan Bersama dan Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpah Darahku.
Segmen-segmen berkenaan melibatkan persembahan daripada 23 kontinjen kawad, 16 kumpulan pancaragam, aset dari lima badan keselamatan, lima persembahan padang termasuk Skuadron Istiadat Berkuda dan dua persembahan udara melibatkan pesawat pejuang jenis Sukhoi 30MKM, MIG 29 dan FA 18/D Hornet.
Sambutan di Dataran Merdeka dimeriahkan dengan kehadiran Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.
Hadir sama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.
- Bernama
