Lim beri gambaran suram ketika negara rai kemerdekaan
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memberi gambaran yang suram mengenai Malaysia, dengan berkata bahawa negara masih dibelenggu oleh "jurang pelampau dan perkauman" ketika rakyat Malaysia menyambut Hari Kemerdekaan hari ini.
Katanya, Malaysia terus dilanda oleh jurang pelampau dan perkauman serta dibayangi, malah membiarkan berlakunya kronisme, penyalahgunaan kuasa dan juga rasuah.
Dalam ucapan hari Merdeka hari ini Lim menggesa kerajaan persekutuan supaya berpegang teguh kepada sistem institusi berasaskan akauntabiliti, telus dan terbuka bagi memastikan mereka bersih, rajin dan cekap dipertanggungjawabkan dengan tugas-tugas yang membabitkan amanah rakyat.
Meraikan kepelbagaian secara terbuka, tegas Lim, akan membantu memulihkan sekolah sebagai pusat memupuk perpaduan nasional dan bukannya sebagai pusat menyebabkan kontroversi dan perpecahan kaum.
Menurutnya, satu sistem berasaskan hasil akan menjamin penyampaian kepada rakyat dan prestasi yang baik, dan pastinya akan membawa kepada pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran untuk semua.
Lim mensasarkan syarikat penerbangan negara, MAS , kerana didakwanya berprestasi lemah meskipun sejumlah besar dana awam dilaburkan.
Membandingkannya dengan syarikat penerbangan swasta, AirAsia, Lim menyifatkan masalah yang melanda MAS sebagai "membingungkan".
Walaupun tidak mendapat satu sen pun dana awam, katanya, AirAsia telah secara konsisten mengatasi MAS dengan tambang murah dan kini lebih besar daripada MAS dalam permodalan pasaran , pesawat dan harga saham.
Rakyat, katanya, berhak untuk meminta nilai untuk wang bagi RM19 bilion yang dibelanjakan oleh kerajaan persekutuan sejak tahun 1998 untuk menjaga MAS, termasuk menjamin RM12.3 bilion pinjamannya.
Lim juga membidas kerajaan persekutuan ekoran Fitch Ratings menyemak kedudukan kredit negara ini daripada " stabil" kepada "negatif".
Ini, katanya , menunjukkan betapa seriusnya bajet defisit kerajaan sebanyak 4 peratus daripada KDNK dan kedudukan hutang yang menghampiri 70 peratus jika liabiliti luar jangka diambilkira.
Lebih buruk lagi, keluhnya, adalah nisbah hutang isirumah iaitu 83.5 peratus, di mana separuh daripada pendapatan golongan miskin digunakan untuk pembayaran hutang.
Jika kerajaan persekutuan mahu mengurangkan hutang isirumah, tegas Lim, ia mesti menerajuinya dengan mengambil langkah-langkah untuk memerangi rasuah bagi mengurangkan defisit bajet.
[Baca berita penuh]

