Mayat mangsa lemas ditemui tersangkut di pukat
Mayat seorang daripada dua mangsa lemas ditemui tersangkut dipukat menangkap ikan kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian di Sungai Perak, Kampung Mandah, Manong, Kuala Kangsar dekat Ipoh semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.15 petang semalam, Mohammad Badrul Amin Muhd Nazri, 17, dan sepupunya Mohd Faiz Norisham, 14, sedang mandi di sungai itu bersama enam anggota keluarga mereka.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar ACP Abdul Gaffar Muhamad berkata mayat Mohammad Badrul ditemui oleh beberapa orang kampung Chopeng Kanan, Parit kira-kira pukul 4 petang semalam.
"Gerakan mencari dijalankan oleh anggota polis, bomba, Jabatan Pertahanan Awam serta orang kampung dan menemui mayat tersangkut dipukat menangkap ikan," katanya ketika dihubungi Bernama semalam.
Mayat mangsa kemudiannya di bawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat.
Difahamkan, Faiz lemas ketika memasuki kawasan air menyebabkan Badrul berusaha untuk menyelamatkan mangsa namun kedua-dua mereka gagal menyelamatkan diri sebelum tenggelam ke dalam sungai itu.
Beliau berkata operasi mencari mangsa kedua dihentikan pukul 7.30 petang tadi kerana cuaca gelap dan akan bersambung semula pada pukul 8 pagi hari ini.
-Bernama

