ULASAN Parti Sosialis Malaysia (PSM) amat terkejut dengan kontrakdiksi yang sedang dilakukan oleh Kerajaan BN.

Sambil menjunjung tema Hari Kemerdekaan ke-56, "Malaysiaku Berdaulat, Tanah Tumpahnya Darahku!", pada masa yang sama mereka melibatkan diri dalam rundingan Perdagangan Bebas Trans Pasifik, yang merupakan satu cara penjajahan ekonomi era baru oleh Amerika Syarikat.

Walaupun rundingan secara sulit ini dilaksanakan sejak tahun 2010, tetapi kini desakan dan tuntutan untuk membongkar teks rundingan oleh pelbagai NGO dan agensi kerajaan sendiri dapat disaksikan.

Apabila lebih banyak maklumat mengenai rundingan sulit ini dibocorkan, maka dengan jelas ia agenda kapitalis korporat Amerika yang ingin menjajah negara-negara sedang membangun di Asia Pasifik secara ekonomi.

PSM bersama BANTAH-TPPA, sebuah gabungan terbesar 60 NGO dengan jelas mengemukakan bantahan terhadap kerajaan yang terus ingin meneruskan rundingan ini, walaupun pelbagai kajian menunjukkannya tidak memanfaatkan Malaysia.

Lebih-lebih lagi ia akan membawa bersama bebanan yang begitu besar memudaratkan kemajuan ekonomi dan sosial rakyat Malaysia.

Kedaulatan negara akan terjejas apabila pihak syarikat korporat yang melabur diberikan kuasa yang melampaui kedaulatan sesebuah negara demokratik.

Sistem demokrasi dan perlembagaan sesebuah negara akan diketepikan sama sekali kerana pihak pelaburlah yang akan menjadi maha berkuasa dalam perjanjian ini.

Kapal singgah pun boleh disita

Kapitalis pelabur diberikan hak untuk melabur di negara kita, tanpa kebenaran awal kerajaan.

Jika kita menolak permohonannya, maka pelabur boleh menyaman kerajaan di mahkamah antarabangsa.

Tangan kerajaan terikat kerana tidak boleh mengenakan apa jua regulasi, undang-undang yang berkemungkinan menjejaskan keuntungan masa depan pelabur.

Walaupun pelabur tersebut didapati melakukan pencemaran alam sekitar, melalui produk pengilangannya ataupun sisa buangannya, kerajaan tidak boleh menutup kilang tersebut kerana ia akan merampas ‘haknya' untuk melabur dan memperoleh keuntungan di tanah air kita.

Kapitalis pelabur asing terpaksa diberikan kebenaran untuk menyertai segala bentuk sebut harga/tender kontrak pembinaan atau bekalan kerajaan dan juga GLC kerajaan. Keutamaan tidak boleh diberikan kepada syarikat kepunyaan rakyat Malaysia.

Jika pelabur asing berjaya dalam kes mahkamah terhadap kerajaan Malaysia dan kerajaan gagal membayar pampasan mengikut perintah mahkamah tersebut, maka pelabur ini boleh menguatkuasakan perintah mahkamah ini dengan menyita apa jua harta kerajaan dalam mana-mana negara ketiga yang menandatangani Konvensyen New York.

Kapal laut yang menyinggah di sesebuah negara ketiga juga boleh disita!

Memang tidak dapat dinafikan, kepentingan korporat yang dibawa oleh perjanjian TPPA ini. PSM kesal dengan kerajaan Malaysia yang masih terlibat dalam rundingan ke-19 yang kini sedang berlangsung di Brunei Darussalam.

Lobi 1% syarikat besar

Seolah-olah lobi pihak korporat besar Malaysia begitu kuat untuk melihat Malaysia menandatangani perjanjian ini demi kepentingan mereka, walapun mereka sedar kedaulatan dan kuasa pemerintahan negara akan tergugat.

Tidak mungkin perjanjian ini berubah wajah untuk menjaga kepentingan rakyat kerana ia didraf oleh 600 orang peguam-peguam pihak korporat Amerika sendiri.

Walaupun 28 juta rakyat Malaysia dan juga jutaan rakyat Amerika dinafikan akses kepada teks rundingan ini dengan alasan rahsia, tetapi pihak korporat Amerika senantiasa melibatkan diri dalam rundingan ini demi menjamin posisi perundingan Amerika tidak lari dari menjaga kepentingan mereka.

Akhirnya jika kerajaan Malaysia masih ingin meneruskan rundingan ini, maka Malaysia terpaksa melepaskan kedaulatannya demi memperolehi peningkatan perdagangan yang masih tidak terjamin pada masa hadapan.

Justeru itu, kerajaan Malaysia harus menghentikan rundingan ini dengan segera kerana hak demokratik rakyat Malaysia bukan untuk dijual!

PSM membantah pengaruh lobi 1 peratus syarikat-syarikat besar tempatan yang ingin mengorbankan kedaulatan negara demi keuntungan.

Ini jelas menunjukkan bahawa, dalam era kapitalisme ini, hak demokrasi rakyat, kedaulatan negara akan terus dipijak dan dihina oleh 1 peratus kapitalis korporat Amerika dan Malaysia ini kerana mereka hanya mempertuhankan duit tanpa apa jua kesetiaan kepada negara dan rakyat jelata mereka masing-masing.

Ayuh 99 peratus rakyat, bangkitlah kamu demi benar-benar menghayati Hari Kemerdekaan kita! Kekalkan kemerdekaan! Tolak TPPA!