Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Ketua Penerangan Wanita Umno Datuk Hamidah Osman berkata beliau tidak akan bertanding jawatan Exco sayap itu pada pemilihan parti Oktober depan.

Sebaliknya, beliau akan mempertahan jawatan Ketua Wanita Umno bahagian Gopeng pada pemilihan kali ini.

NONE Hamidah juga berkata beliau tidak akan mempertahan jawatan Ketua Umno dan Ketua Wanita Cawangan Kampung Seri Indah, yang disandang sejak 30 tahun lepas, bagi memberi peluang kepada muka baharu memimpin cawangan berkenaan sekali gus menyediakan pemimpin pelapis parti.

"Ini adalah sebahagian proses untuk saya melepaskan jawatan di peringkat itu untuk memberi peluang kepada orang lain memimpin dan saya akan memberikan mereka tunjuk ajar supaya ketika saya melepaskannya, mereka bersedia mengambil alih jawatan berkenaan.

"Ini yang perlu ada pada setiap pemimpin parti dan memikirkan program peralihan kuasa. Saya selalu beritahu diri saya, dalam parti kita datang masa orang suka dan pergi sebelum orang benci," katanya kepada Bernama hari ini.

Hamidah berkata sesetengah pemimpin berasa kecewa apabila ditolak anggota parti dan merasakan mereka tidak lagi dihargai hanya kerana enggan melepaskan jawatan yang disandang sekian lama kepada orang lain.

"Kalau kita sayangkan parti dan kalau mahu parti dilihat relevan, kita kena ukur diri kita sendiri sama ada anda layak berada di situ dan kalau sebut pasal umur, ia sangat subjektif.

"Kita tak boleh kata kita mahukan semua golongan muda kerana pada msa sama, kita memerlukan orang lama yang berpengalaman. Jadi, kita perlu ukur diri sendiri. Jika anda rasa anda tidak boleh menyumbang dan orang lain boleh berbuat yang lebih baik, kita perlu memberi peluang kepada orang lain dan kita tidak seharusnya bersikap mementingkan diri sendiri," katanya.

Beliau berkata setiap Umno bahagian seharusnya mewujudkan program pemimpin pelapis bagi memastikan kesinambungan perjuangan parti.

"Pemimpin datang dan pergi, tetapi parti akan terus wujud. Bila kita pergi, ada pelapis (pemimpin) yang berkeupayaan yang telah kita asuh dan didik untuk mengambil alih peranan kita dalam parti dan mengembalikan kredibiliti parti," katanya.

-Bernama

ADS