Bekas menteri penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin mendakwa pemimpin DAP tidak berpuas hati dengan gambaran dalam filem 'Tanda Putera' yang menonjolkan parti itu sebagai pencetus dalam tragedi berdarah 13 Mei 1969.

"Mereka (DAP) marah kerana jelas simbol parti DAP (Roket) terlihat dalam kejadian keganasan 13 Mei.

"Mereka merasa bersalah dan sewajarnya merasa bersalah kerana simbol itu dibawa ke Kampung Bharu dan Datuk Keramat untuk menghalau orang Melayu,” katanya dalam satu tulisan di blog zamkata.blogspot.com.

Beliau mendakwa, gambaran dalam filem berkenaan adalah benar seperti yang disaksikannya ketika bertugas sebagai pemberita Utusan Melayu pada tanggal tersebut.

Zainuddin mendakwa melihat sendiri penyokong DAP menaiki lori masuk ke Kampung Baru dan Datuk Keramat berteriak menghalau orang Melayu.

"Saya lihat sendiri penyokong-penyokong DAP menaiki lori melalui Kampung Baru dan Datuk Keramat dengan membawa simbol Roket (DAP) dan berteriak menghalau "Melayu Balik Kampung! Melayu Balik Kampung"," kata Zam.

Menurutnya, pada hari tersebut beliau berada di Jalan Raja Muda, di kawasan rumah setiausaha politik menteri besar Selangor pada masa itu, Ahmad Razali.

"Saya berlari ke luar dari perhimpunan itu untuk pulang ke rumah di Kampung Bharu yang berhampiran dengan tempat kejadian itu.

"Saya melihat beberapa buah kereta terbalik dan mayat bergelimpangan. Orang-orang yang tidak berdosa telah mati.

"Saya kutuk, saya tidak dapat menerima kekejaman ini tetapi segera terbayang di mata saya Lim Kit Siang dan Lee Kuan Yew," tulisnya lagi.

Bagaimanapun, orang Cina kini tidak lagi boleh menghalau orang Melayu dari kawasan bandar kerana kedudukan Melayu bertambah kukuh, katanya lagi dalam tulisan tersebut.

"Populasi Melayu akan bertambah, profesional Melayu akan semakin ramai.

"Walaupun tidak dapat dua pertiga kuasa, pemerintahan BN dan Melayu akan bertambah kukuh terutama kerana orang Cina telah mengasingkan diri.

"Dan jika ramai mereka yang mahu menjadi monyet dan kera maka ini akan lebih memudahkan untuk orang Melayu mencapai matlamat mereka," katanya.