Exco S'gor: Tiada sebab minta kami bayar sendiri petrol
dikemaskini Ahli exco Selangor menolak cadangan supaya membayar petrol mereka sendiri atas alasan bukan mereka yang bertanggungjawab terhadap kenaikan harga bahan api itu baru-baru ini.
Cadangan itu dibuat oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz semalam, dalam reaksinya terhadap gesaan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli supaya menteri kabinet berbuat demikian.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata tujuan Rafizi membuat cadangan itu adalah supaya para menteri dapat memahami kesan dan "penderitaan" rakyat biasa akibat harga minyak bahan bakar yang mahal.
Bagaimanapun, Khalid berkata mereka yang memegang jawatan awam tidak boleh mengharapkan kerajaan mensubsidi penggunaan bahan api peribadi mereka.
Khalid berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco hari ini. Hadir sama di sidang akhbar tersebut ialah ahli exco Datuk Teng Chang Khim, Iskandar Abdul Samad dan Elizabeth Wong.
'Tiada sebab minta kami bayar'
Ditanya lebih lanjut sama ada cadangan Rafizi itu patut diterima pakai oleh Selangor, Teng mencelah dan mempersoalkan mengapa kerajaan negeri pula kini menjadi tumpuan.
"Apa yang Rafizi katakan ialahh: Bila anda jadi menteri, anda tidak faham penderitaan rakyat apabila anda membuat sesuatu keputusan, jadi anda patut bayar sendiri supaya anda akan faham.
"Tetapi bukan kita yang membuat keputusan di sini, jadi mengapa kita perlu berbuat demikian? Kami memahami (perasaan rakyat). Jika kita menteri, kita tidak akan menaikkan 20 sen (untuk seliter petrol).
"Jadi tidak ada sebab untuk meminta kita bayar, kerana kita memahami (penderitaan rakyat)," kata Teng.
Semalam, Rafizi menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memastikan menteri dan timbalan menteri membayar petrol mereka sendiri untuk memahami bebanan yang ditanggung rakyat akibat kenaikan harga petrol dan diesel.
Bagaimanapun, Nazri menyifatkan cadangan itu sebagai "idea bodoh", dengan mengatakan ia harus dilakukan terlebih dahulu oleh pemegang jawatan awam di negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan.
[Baca berita penuh]

