Mahkamah batal pengharaman buku Irshad Manji
Mahkamah hari ini membatalkan pengharaman oleh Kementerian Dalam Negeri ke atas buku karya penulis kontroversi Irshad Manji bertajuk 'Allah, Kebebasan dan Cinta'.
Ia berikutan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Zaleha Yusof untuk membenarkan pemohonan semakan kehakiman oleh penerbitnya, ZI Publications Sdn Bhd.
Penerbit buku terjemahan dalam bahasa Melayu itu memohon untuk membatalkan pengharaman kementerianke atas jualan bualan buku berkenaan memandangkan edisi bahasa Inggerisnya telahpun berada di pasaran setahun sebelum edisi terjemahan. [Baca berita penuh]
Sementara itu
Bernama
melaporkan Hakim Datuk Zaleha membenarkan permohonan syarikat penerbitan itu bagi semakan kehakiman untuk membatalkan perintah larangan dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 pada Mei tahun lepas terhadap penerbitan, pengedaran dan pemilikan buku itu.
Peguam mewakili ZI Publications, K. Shanmuga dan Nizam Bashir berkata dengan keputusan itu, buku itu, diterbitkan oleh syarikat anak guamnya, kini bebas untuk pengedaran di pasaran.
Peguam Kanan Persekutuan Noor Hisham Ismail, mewakili responden, berkata beliau akan mendapatkan arahan lanjut daripada Pejabat Peguam Negara mengenai tindakan seterusnya.
Pengarah ZI Publications Mohd Ezra Mohd Zaid berkata beliau gembira dengan keputusan itu.
"Saya tidak dapat mengelak daripada memikirkan perkara ini kerana langkah yang diambil untuk mengharamkan buku ini hanya dibuat apabila buku itu telah diterjemahkan ke dalam bahasa kebangsaan," katanya.
Hakim Zaleha juga berkata perlu ditekankan bahawa buku itu telah diedarkan selama dua minggu sebelum diharamkan, manakala versi asal dalam bahasa Inggeris telah diedarkan dalam negara sejak 2011.
Pada 9 Julai, 2012, syarikat penerbitan itu memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi diisytiharkan perintah larangan itu batal, salah di sisi undang-undang dan tidak sah kerana ia ultra vires Seksyen 7 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan melanggar Perkara 10(1)(a) dan 8(1) Perlembagaan Persekutuan
berhubung kebebasan bersuara dan menyatakan pendapat.
Syarikat itu mendakwa buku itu hanya mengandungi pendapat-pendapat dalam bentuk ulasan ringkas yang mengkritik pendekatan semasa dalam pentadbiran agama, yang menurutnya tidak memudaratkan.

