Pasukan Ops Cantas khas di pintu masuk sempadan
Pasukan Ops Cantas Khas Perak ditempatkan di pintu masuk sempadan Malaysia-Thailand di Pengkalan Hulu dekat sini, bagi memburu anggota kongsi gelap yang cuba melarikan lari ke negara jiran dan untuk membuang tatu lambang kumpulan mereka.
"Pasukan khas akan mengawal di pintu masuk sempadan supaya anggota kumpulan kongsi gelap ini tidak dapat keluar untuk membuang tatu yang berlambangkan kumpulan mereka," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim kepada pemberita pada seminar program pendidikan kewangan di Ipoh hari ini.
Baru-baru ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar Khalid berkata anggota kongsi gelap melarikan diri ke luar negara berikutan penahanan ketua-ketua kongsi gelap serta kesukaran menjalankan aktiviti jenayah disebabkan operasi pihak berkuasa, selain mahu menghapuskan tatu kumpulan pada anggota badan supaya sukar dikesan polis.
Mohd Dzuraidi juga berkata sembilan suspek kumpulan kongsi gelap 36 ditahan dalam operasi itu di negeri ini sejak 2 Sept hingga semalam.
Katanya suspek ditangkap kerana terdapat kesan hirisan pisau di bahagian lengan dan tatu sebagai lambang anggota kumpulan terbabit.
- Bernama

