6P: Pekerja Myanmar jatuh ditimpa tangga
Seorang pekerja daripada Myanmar ditangkap pada malam Selasa walaupun telah membuat laporan polis mendakwa ditipu pasport dan ribuan ringgit oleh pihak yang dikenali sebagai agen 6P.
Diambil di Pudu, Kuala Lumpur kira jam 8 malam, lelaki 26 tahun itu antara 2,586 yang ditahan dalam operasi besar-besaran pihak imigresen terhadap pekerja asing tanpa dokumen sah, yang bermula Ahad.
Menurut laporan polis lelaki itu pada 12 Ogos, dia membayar RM3,600 kepada agen yang beroperasi di Lebuh Pudu dan menyerahkan pasportnya selepas didakwa perlu untuk program pemutihan.
"Dia ambil pasport original saya (nombor tidak dinyatakan) dan RM3,600 untuk bayaran pemprosesan dan berkata, selepas proses selesai, dia akan menelefon untuk pemeriksaan perubatan," katanya.
Katanya, agen itu, wanita Myanmar yang dilapor berkahwin dengan rakyat Malaysia, kemudian memberikannya resit. Bagaimanapun dia tidak lagi dihubungi selepas itu.
Dia juga mendakwa menemuinya untuk memperbaharui permitnya yang kemudian tamat tempoh.
Agen itu kemudian memberikan salinan dokumen, termasuk yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri yang menyatakan lelaki itu diterima ke dalam senarai 6P.
Lelaki itu juga diberikan salinan "slip pendaftaran" yang kononnya dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen bertarikh 12 Ogos 2011.
Turut diberikan salinan surat daripada Kementerian Dalam Negeri kepada Kedutaan Myanmar bertarikh 29 November 2011, yang menyatakan lelaki itu bertaraf sah bawah program 6P.
Malaysiakini tidak menyebut nama lelaki Myanmar itu atas sebab-sebab keselamatan. Ini ekoran dakwaannya bahawa agen itu mengupah samseng untuk menghalangnya mendekati premis perniagaannya.
Nama agen itu turut dirahsiakan setakat ini sementara menunggu respon daripada pihak terbabit.
Semakan dengan laman web kementerian mendapati agen itu tidak disenaraikan sebagai agen rasmi untuk program 6P.
Malaysiakini pada minggu lalu menghantar e-mel kepada pegawai kementerian berhubung perkara itu. Turut dilampirkan nombor rujukan surat itu.
Tiada jawapan setakat ini. Panggilan menggunakan nombor telefon yang disenaraikan di laman web juga tidak berjaya setakat ini.
Malaysiakini juga membuat beberapa panggilan dan SMS kepada Ketua Pengarah Imigresen Datuk Alias Ahmad tetapi masih belum berjawab.
Beliau bagaimanapun dilaporkan sebagai berkata oleh The Star , pekerja yang didaftarkan melalui program 6P yang masih diproses bebas tinggal di negara selagi tidak melebihi tarikh visa.
[Baca berita penuh]

