Kini ahli CC bantah batal penggantungan ahli Tee
Lima belas anggota jawatankuasa pusat (CC) MCA telah berganding bahu menentang keputusan untuk menarik balik penggantungan keahlian setiausaha penganjur, Datuk Tee Siew Keong.
Diketuai Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai (kiri), mereka berkata dalam satu kenyataan hari ini bahawa penarikan balik keputusan jawatankuasa disiplin terhadap Tee kerana tidak mematuhi pendirian parti itu supaya tidak menerima jawatan kerajaan, telah mengkhianati perhimpunan agung parti.
"Kami berpendapat bahawa keputusan jawatankuasa pusat yang dibuat semalam telah melanggar keputusan perhimpunan agung, yang merupakan badan pembuat keputusan tertinggi parti.
"Jawatankuasa pusat telah dipilih oleh perwakilan pusat, maka ia perlu berpegang kepada prinsip melaksanakan keputusan yang dibuat oleh perhimpunan agung," kata mereka.
Ia menyifatkan keputusan yang dibuat oleh 16 anggota jawatankuasa pusat untuk membatalkan penggantungan tiga tahun keahlian Tee "sama seperti mengkhianati kepercayaan yang diberikan oleh perwakilan pusat serta melanggar semangat demokrasi kerana perhimpunan agung adalah badan pembuat keputusan yang tertinggi".
Selain Liow, dua Naib Presiden, Datuk Donald Lim dan Datuk Chor Chee Heung, Ketua Pemuda MCA Datuk Wee Ka Siong, Ketua Wanita MCA Datuk Yu Chok Tow turut merestui kenyataan tersebut.
Yang lain ialah Datuk Hou Kok Chung, Datuk Wee Jeck Seng, Datuk Toh Chin Yaw, Datuk Seri Ong Ka Chuan, Lee Wei Kiat, Datuk Hoh Khai Mun, Tan Cheng Liang, Paul Kong, Datuk Yoo Wei How dan Datuk Chuah Poh Khiang.
Mereka tetap dengan pendirian bahawa Tee - yang mereka dakwa pernah memikul tanggungjawab besar tetapi melanggar peraturan - perlu menghadapi hukuman serius.
Mereka memberi amaran bahawa MCA, yang telah mengalami kekalahan teruk dalam pilihan raya umum yang lepas, akan terus jatuh sekiranya parti enggan mematuhi keputusan perhimpunan agung itu.
Menurut mereka, setakat ini mereka hanya berjaya menghubungi 15 ahli jawatankuasa pusat untuk menyokong kenyataan itu, dan berdasarkan kepada keputusan undi rahsia semalam, terdapat lima lagi ahli yang belum lagi dapat dihubungi, yang juga tidak bersetuju dengan keputusan untuk menarik balik penggantungan keahlian Tee .
Semalam, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mengumumkan keputusan jawatankuasa pusat untuk membatalkan syor jawatankuasa disiplin untuk menggantung keahlian Tee .
Liow telah menyatakan rasa kesal dan kekecewaannya kepada pihak media selepas mesyuarat itu dan mengulangi bahawa MCA mesti berpegang kepada keputusan menolak jawatan kerajaan.
Menurut lamanweb MCA, parti itu mempunyai 42 anggota jawatankuasa pusat, termasuk tujuh yang dilantik.
1. MCA tarik balik penggantungan ahli Tee

