Tekam rayu diberi kebenaran daftar pekerja asing
Persatuan Pembekal dan Pengurusan Pekerja Asing Malaysia (Tekam) merayu Kementerian Dalam Negeri agar membenarkan 'syarikat penyumberan luar' mendaftarkan pendatang tanpa izin sebagai pekerja 'sumber luar'.
Dalam satu kenyataan semalam, Presiden Tekam, Ammar Hassan mendakwa beberapa memorandum telah dimajukan kepada pihak yang berkenaan namun langsung tidak dipertimbangkan.
Beliau berkata semasa program 6P, ejen pengurusan yang dilantik hanya berperanan mendaftar dan pengambilan biometrik sahaja.
Katanya proses pemutihan pula hanya diberi kepada majikan yang layak dan permit yang diluluskan terhad kepada bilangan tertentu sahaja, oleh itu sebahagian besar pendatang tanpa izin tidak dapat diputihkan.
Ammar berkata dengan membenarkan syarikat penyumberan luar mendaftarkan pendatang tanpa izin sebagai pekerja sumber luar, pendatang tanpa izin yang tidak mempunyai majikan akan dapat didaftarkan dan diputihkan.
Melalui kebenaran itu, jumlah pendatang tanpa izin akan dapat dikurangkan dan menambahkan hasil kerajaan melalui bayaran levi manakala kebajikan pekerja asing juga akan lebih terbela.
Ammar juga menyeru agar kerajaan mengambil tindakan terhadap syarikat yang dilaporkan terlibat dalam melakukan penipuan terhadap pendatang asing seperti dilaporkan akhbar The Star pada 7 September.
-Bernama

