Bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam menyifatkan Umno sedang melalui proses transformasi demokrasi lebih luas yang sekaligus memberi peluang kepada lebih ramai anggotanya untuk memilih barisan pemimpin mereka.

    

Merujuk kepada pemilihan parti yang dijadual berlangsung bulan depan, beliau berkata kaedah baru yang akan digunakan menunjukkan Umno memberi ruang dan suara kepada anggota dan pemimpin di peringkat akar umbi.

    

"Semua calon (yang menawarkan diri) dilihat mempunyai pengalaman dalam kerajaan, parti, dan pemilih boleh menilai rekod perjuangan untuk memilih pemimpin terbaik," katanya ketika ditemubual oleh Bernama Radio24 di ibunegara semalam.

    

Pada 4 September lalu, Mohd Ali mengesahkan akan bertanding jawatan naib presiden dalam pemilihan parti itu.  

    

"Kita ingin terus pastikan Umno adalah parti yang memperjuangkan hak-hak orang Melayu, masyarakat Islam dan negara," katanya.

    

Menurut Mohd Ali, kedudukan masyarakat Melayu dilihat semakin dipertikaikan dan beliau mahu apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung hak-hak itu dihormati.

    

- Bernama