Hindraf: K'jaan tak penuhi kuota pelajar India
Persatuan Hindraf Malaysia mempersoalkan kegagalan kerajaan dalam memenuhi kuota 7.5 peratus untuk menempatkan pelajar golongan India dalam program matrikulasi dan institut latihan kemahiran.
Persatuan tersebut dalam laporan 100 harinya menyebut, satu sistem yang jelas dan telus perlu ditubuhkan untuk mengelakkan perkara itu dari terus berulang.
Ia merupakan salah satu dari sembilan perkara yang disifatkan boleh dilaksanakan dalam tempoh 100 hari, bermula 5 Jun apabila pengerusinya P Waythamoorthy mengangkat sumpah sebagai senator dan dilantik sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Laporan tersebut tidak memuatkan sebarang perangkaan, namun setiausaha agung MIC Jaspal Singh sebelum ini membangkitkan bahawa sebanyak 1,142 tempat untuk pengajian matrikulasi telah diisi oleh pelajar golongan India, daripada 1,500 tempat yang dijanjikan perdana menteri pada Mac.
Satu-satunya bidang yang dipenuhi dalam laporan tersebut ialah soal penubuhan unit bawah Jabatan Perdana Menteri untuk melaksana memorandum persefahaman antara Hindraf dan BN dan menamakan Waythamoorthy sebagai pemimpinnya.
Tujuh bidang lain yang tidak dipenuhi ialah:
- Memberi kuasa eksekutif kepada Waythamoorthy, kerana unit tersebut tidak dapat beroperasi tanpa penglibatan langsung Datuk Seri Najib Razak.
- Mengemukakan peruntukan secukupnya untuk melaksana MOU tersebut. Setakat ini belanjawan yang dicadangkan melibatkan penempatan semula pekerja estet, pembinaan semula sekolah rendah dan pemindahan kuil, tetapi perkara ini masih belum diluluskan.
- Menubuhkan struktur unit organisasi. Satu cadangan telahpun dikemukakan namun ditolak kerana “terlalu terperinci”.
- Menubuhkan Jawatankuasa Pemandu Pakar (ESC) untuk membentuk rancangan kepada pelan induk Hindraf. Dua orang wakil Hindraf telah dikenalpasi dan menunggu kerajaan untuk menamakan wakil dan pengerusnya.
- Menubuhkan jawatankuasa penimbangtara.
- Menubuhkan jawatankuasa kecil bawah ESC untuk menangani isu kuil dan tempat pengebumian.
- Membentuk cadang untuk menyelesaikan masalah kewarganegaraan di kalangan masyarakat India. Laporan itu menyebut satu jakian mengenalpasti 10 masalah berhubung kerakyatan.

