Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Raihan bukan AJK Umno Kulim/Bandar Baharu'
Diterbitkan:  Sep 14, 2013 5:37 PM
Dikemaskini: 9:38 AM

Umno Bahagian Kulim/Bandar Baharu menafikan bahawa Raihan Sulaiman Palestin yang berhasrat mencabar Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil untuk jawatan Ketua Pergerakan Wanita Umno ialah anggota jawatankuasa (AJK) bahagian itu.

    

Timbalan Ketua Umno bahagian, Datuk Husain Abdul Rahman berkata pihaknya juga meragui taraf Raihan sebagai anggota Umno mana-mana cawangan.

    

"Raihan pernah menjadi ahli Umno di bahagian ini kira-kira 20 tahun lalu, tetapi dia telah berpindah, kemungkinan dia telah menukar cawangannya, tetapi mengikut maklumat yang saya dapat, dia bukan lagi ahli Umno di mana-mana cawangan," katanya kepada Bernama hari ini.

    

Beliau berkata pihaknya ada menerima beberapa panggilan bertanyakan status Raihan serta dakwaan bahawa beliau AJK di Umno bahagian Kulim/Bandar Baharu.

    

"Kami harap dengan penafian ini dapat menjelaskan kedudukan bahawa bahagian ini tidak tahu menahu berhubung hasrat Raihan itu," katanya.

    

Raihan seperti yang dilaporkan media hari ini berhasrat mencabar Shahrizat untuk jawatan ketua Wanita Umno pada pemilihan parti bulan depan.

    

Dalam kenyataannya, Raihan berkata keputusan itu dibuat kerana beliau mahu membuka lebih banyak laluan kepada anggota Wanita Umno untuk tampil bertanding sebagai pemimpin pergerakan pada pemilihan kali ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS