Gandhi Memorial Trust (GMT) akan menyampaikan anugerah khas kepada pengeluar filem legenda Tan Sri L Krishnan kerana sumbangan besar beliau kepada khidmat awam.

Pengerusi GMT S Radhakrishnan berkata anugerah itu akan disampaikan kepada Krishnan, 91, bersempena dengan Hari Tanpa Keganasan Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam majlis yang akan diadakan di Kelab Taman Perdana Diraja di Kuala Lumpur pada 2 Okt.

"Gandhi Memorial Trust sangat berbesar hati untuk menyampaikan anugerah khidmat awam tahun ini kepada Tan Sri L. Krishnan, yang akan dikenang sebagai seorang tokoh yang mencungkil dan menggilap bakat Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sehingga menyinar," katanya kepada Bernama .

Digelar sebagai bapa industri filem Melayu di Malaysia, Krishan mengarah lebih 30 filem dan bekerja bersama-sama bintang filem termasyhur Malaysia seperti Datuk Maria Menado, Kasma Booty dan Datuk Mustapha Maarof.

Bekas presiden Kelab Rotary Diraja Kuala Lumpur itu dianugerahi anugerah 'Service Above Self' oleh Rotary International kerana khidmat cemerlang beliau dalam Kelab Rotary selama lebih 40 tahun.

Krishnan, yang juga naib presiden Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia, terkenal dengan tradisi mulia beliau merayakan Deepavali bersama-sama golongan kurang bernasib baik selama lebih 33 tahun.

Sementara itu, Radhakrishan berkata dua penceramah terkenal di peringkat antarabangsa akan berkongsi pandangan mereka untuk membicarakan tentang hubungan dalam ajaran Mahatma Gandhi pada majlis sama yang akan bermula pada 5 petang.

Radhakrishan berkata Duta Besar Berkuasa Penuh di Kementerian Luar di Singapura Prof Tommy Koh dan Ketua Jabatan Pengajian Melayu dan Profesor Madya Sosiologi di National University of Singapore, Dr Syed Farid Alatas, akan memberi penghormatan kepada Gandhi dalam majlis itu.

Sesi itu, katanya, akan dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Dr Rebecca Fatima Sta Maria.

Beliau berkata syarahan khas itu sebagai memperingati ulang tahun ke-144 Mahatma Gandhi, yang disambut sebagai Hari Tanpa Keganasan Antarabangsa.

Penyelaras Residen PBB bagi Malaysia, Michelle Gyles-McDonnough dijadual melancarkan majlis berkenaan.

Tiada bayaran masuk dikenakan dan mereka yang berminat boleh menghantar email kepada radhakrishnan@shearndelamore.com.

- Bernama