Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil terharu dan berterima kasih atas sokongan pergerakan wanita Umno Sabah terhadapnya bagi mempertahankan jawatan itu pada pemilihan parti Oktober depan.

Sambil menyifatkan sokongan padu itu sebagai suntikan semangat, Shahrizat berkata beliau akan terus memperjuangkan nasib dan memartabatkan kedudukan wanita di negara ini.

Shahrizat turut menghargai sumbangan wanita Umno Sabah yang banyak membantu memenangkan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13 lalu, termasuk kejayaan naib ketua wanita Umno Sabah yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun menumbangkan ahli politik veteran negeri Datuk Seri Lajim Ukin bagi kerusi Parlimen Beaufort.

Lajim yang kini memegang jawatan pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah kalah di tangan Azizah dengan majoriti 673 undi. Azizah mendapat 12,827 undi berbanding Lajim 12,154 undi.

"Ini menunjukkan wanita Umno Sabah telah memainkan peranan penting dalam pilihan raya yang lepas, sekali gus membantu Barisan Nasional kembali berkuasa.

"Pada pilihan raya umum yang lepas, kita hanya kalah tiga kerusi Parlimen dan 12 kerusi negeri atau DUN. Syabas dan terima kasih kepada pergerakan wanita Umno Sabah, di bawah pimpinan ketua wanita Umno negeri Datuk Armani Mahiruddin, yang bertungkus lumus memastikan kejayaan BN," katanya.

Shahrizat berkata demikian selepas majlis ramah mesra Merdeka 50 Tahun Sabah Dalam Malaysia di ibu pejabat Umno, dekat Kota Kinabalu hari ini.

Terdahulu, dalam ucapannya, Armani menyatakan pendirian wanita Umno negeri yang tidak berbelah terhadap kepimpinan Shahrizat.

Armani berkata wanita Umno Sabah juga menyambut baik keputusan anggota Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said membatalkan hasrat bertanding jawatan Ketua Pergerakan Wanita Umno.

"Tindakan Datuk Seri Azalina itu adalah satu langkah bijak, daripada menongkah arus yang sukar diduga untung nasibnya, lebih baik menumpang sayang," katanya.

Sementara itu, Armani berkata wanita Umno Sabah agak terkejut dengan keputusan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman untuk tidak bertanding jawatan naib presiden atau anggota majlis tertinggi pada pemilihan Umno akan datang.

"Namun, kami akur dengan keputusan itu, dan ini membuktikan bahawa YAB Musa (pengerusi badan perhubungan Umno negeri) tidak tamak jawatan.

"Beliau (Musa) mengutamakan kepentingan rakyat berbanding kepentingan peribadi, inilah pemimpin yang kita mahu. Wanita Umno Sabah "tatap" menyokong kepimpinan Datuk Seri Musa," katanya.

-Bernama