Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis awasi sempadan, sekat mayat Chin Peng
Diterbitkan:  Sep 17, 2013 11:33 AM
Dikemaskini: 3:36 AM

Polis mengambil langkah berjaga-jaga untuk menghalang abu atau mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya Chin Peng, yang meninggal dunia di Bangkok semalam, dari dibawa pulang ke negara ini.

Ketua polis negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis memantau semua pintu masuk ke negara ini bagi memastikan mayat tersebut tidak diseludup masuk.

“Semua pintu masuk ke Malaysia di pantau dan pasukan polis berjaga-jaga untuk mengelakkan mayat Chin Peng masuk ke negara ini,” katanya dalam satu tulisan di Twitter.

Khalid dalam interaksi dengan pengguna Twitter juga mempertahankan tindakan tersebut kerana menurutnya Chin Peng bertanggungjawab ke atas kematian ramai anggota polis dan tentera semasa Darurat.

Beliau antara lainnya mengulas kenyataan MP Segambut Lim Lip Eng.

Lim membangkitkan bahawa penceroboh Sulu dari Filipina yang membunuh sembilan orang anggota keselamatan Malaysia awal tahun lalu ini di Sabah, dikebumikan di negeri tersebut.

Khalid berkata, kerajaan akan menggali semula kubur berkenaan apabila timbul tuntutan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga menegaskan bahawa mayat Chin Peng tidak akan dikebumikan di Malaysia.

Seorang bekas anggota PKM, Fang Shan dilaporkan berkata, Chin Peng berhajat agar abu mayatnya dikebumikan di kampung kelahirannya di Setiawan, Perak.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun berkata, abu mayat itu juga tidak akan dibenarkan masuk ke bumi Malaysia.

ADS