Petisyen anti-Lynas hampiri sasaran sejuta tandatangan
Lebih 800,000 tandatangan telah dikutip, sekali gus menghampiri sasaran kutipan sejuta tandatangan bagi mendesak penutupan kilang pemprosesan nadir bumi Lynas anjuran Himpunan Hijau.
Pengerusi NGO itu Wong Tack berkata, mereka menjangkakan mencapai sasaran itu bila-bila masa sahaja daripada sekarang.
"Kita sudah sangat dekat (dengan sasaran)... Jika 2,000 rakyat Malaysia tampil dan kutip 100 tanda tangan seorang, kita sudah berjaya capai sasaran," katanya dalam kenyataan.
"Mari selesaikan misi dengan semangat yang membara, jadi kita boleh bergerak untuk misi kedua, bekerja sama dengan NGO antarabangsa untuk menutup Lynas."
Himpunan Hijau merancang menyerahkan tandatangan itu kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memohon campur tangan baginda terhadap keputusan Putrajaya yang menerima projek di Gebeng, Kuantan itu.

