RM45,000 untuk perpaduan, prasarana SK Pristana
Guru besar Sekolah Kebangsaan Seri Pristana Mohamad Nasir Mohd Nor berkata kerajaan menyalurkan peruntukan sebanyak RM45,000 kepada sekolah tersebut susulan kontroversi yang tercetus apabila bilik persalinan di sekolah tersebut dijadikan kantin sementara.
Mohamad Nasir dalam satu wawancara disiarkan Sinar Harian hari ini menyatakan bahawa bantuan tersebut akan digunakan bagi aktiviti untuk mengukuhkan perpaduan serta keharmonian dan juga untuk prasarana sekolah.
“Alhamdulillah, dalam masa yang terdekat ini pihak sekolah mendapat perutukan sebanyak RM45,000 daripada kejadian itu dan ini adalah hikmah di sebaliknya.
“Banyak yang saya belajar daripada perkara yang berlaku,” katanya yang berharap agar kontroversi tersebut berakhir selepas kunjungan Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh pada hari Selasa lalu.
Beliau turut menjelaskan bahawa kejadian tersebut, yang menimbulkan kemarahan ibu bapa sehingga menukarkan anak ke sekolah lain, adalah tidak disengajakan.
“Jika saya disalahkan, saya tidak ada masalah kerana perkara itu berlaku tidak disengajakan. Apa yang penting, tuhan tahu niat sebenar,” katanya lagi.
Beliau seterusnya meminta ibu bapa terbabit agar memberi sokongan kepada program anjuran sekolah bagi mengetahui perkembangan sekolah.
Tambahnya, kontroversi berkenaan boleh dielakkan sekiranya ibu bapa dan guru bekerjasama dan bersatu.
“Sejak awal sekolah ini beroperasi pada tahun 2010, saya dapati kehadiran ibu bapa pada mesyuarat agung mendapat sambutan baik di mana 80 peratus hadir. Namun jumlah itu kian merosot.
“Sebenarnya saya agak terkilan perkara ini terjadi.Majoriti ibu bapa di sini sangat memberi kerjasama, tetapi seperti ungakapan kerana nila setiitik, rosak susu sebelanga,” katanya.

