Berikut ialah prosedur yang perlu dipatuhi oleh anggota yang berhasrat bertanding pada pemilihan Umno, semasa menyerahkan borang pencalonan di ibu pejabat Umno, Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini, Sabtu ini:

1. Bakal calon/wakil perlu kemuka kad pengenalan, nombor keanggotaan dan borang pencalonan di Kaunter 1, Aras 5 untuk disahkan sebelum diberi nombor giliran.

2. Bakal calon/wakil seterusnya perlu mengenal pasti saluran pendaftaran berdasarkan jawatan yang ingin ditandingi (Majlis Tertinggi, Wanita, Pemuda atau Puteri) dan mendaftar diri di Kaunter Pendaftaran (Kaunter 2).

3. Bakal calon/wakil akan diberi 'kad giliran' untuk menentukan saluran penyerahan borang pendaftaran dan perlu menunggu di ruang yang disediakan sehingga nombor giliran mereka dipanggil.

4. Apabila nombor bakal calon/wakil dipanggil, individu itu boleh memasuki Bilik Labuan/Kuala Lumpur bagi menyerahkan borang pencalonan mengikut saluran yang ditetapkan.

  • Bagi jawatan pengerusi tetap, timbalan pengerusi tetap, presiden, timbalan presiden, naib presiden dan bagi pengerusi tetap, timbalan pengerusi tetap serta ketua dan naib Pergerakan sayap parti (Kaunter A)
  • Bagi jawatan Majlis Tertinggi (MT) dan exco sayap (Kaunter B)
5. Borang pencalonan akan melalui lima langkah pemeriksaan termasuk pengesahan maklumat diri; borang pencalonan direkod dan diberi 'nombor calon'.

6. Borang pencalonan seterusnya diserahkan kepada petugas jawatankuasa pemilihan untuk proses saringan dan maklumat dalam borang disemak dengan pangkalan data parti. Borang yang lengkap akan disahkan sebelum bakal calon/wakil diberi salinan borang pencalonan beserta nombor calon sebagai bukti pendaftaran.

Setiausaha Kerja Umno Datuk Abdul Rauf Yusof berkata prosedur seumpamanya akan terpakai bagi penyerahan borang pencalonan di peringkat negeri yang akan dibuat di Pejabat Perhubungan Umno negeri masing-masing, Sabtu ini.

Pada pemilihan kali ini seramai 146,500 anggota perwakilan akan mengundi serentak bagi memilih pucuk pimpinan di peringkat Bahagian dan Majlis Tertinggi di 191 bahagian Umno seluruh negara pada 19 Oktober.

Sebelum itu mesyuarat perwakilan dan pemilihan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian dan pemilihan bagi jawatan Exco pusat bagi ketiga-tiga sayap parti itu akan diadakan serentak pada 12 Oktober.

Perhimpunan Agung Umno 2013 akan diadakan dari 2 hingga 7 Disember.

-Bernama