'Umno perlu orang muda di peringkat naib presiden'
Umno memerlukan pemimpin muda di peringkat tertinggi parti yang berupaya menjadi idola golongan belia, sekaligus membuka ruang untuk menarik sokongan kelompok itu kepada Umno.
Berkongsi pandangannya dengan Bernama hari ini, timbalan ketua Umno Bahagian Alor Setar Muhamad Guntor Tobeng Mansor Tobeng yakin perkara itu mampu direalisasikan jika Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir dipilih menjadi naib presiden dalam pemilihan Umno bulan depan.
"Kita perlukan ramai pemimpin muda yang menjadi idola orang muda untuk menangkan parti. Antara semua calon naib presiden, beliau paling muda dan agak muda jika dibandingkan dengan yang lain. Justeru beliau perlu diberi peluang," katanya.
Semalam, Mukhriz yang juga Menteri Besar Kedah mengesahkan kesediaan untuk bertanding kerusi naib presiden Umno pada pemilihan yang dijadualkan 19 Oktober depan.
Mengulas lanjut, Muhamad Guntor Tobeng berkata pemilihan Mukhriz akan memastikan lebih banyak suara orang muda di peringkat tertinggi parti, selain ketua Pemuda dan Puteri.
Umno katanya perlu melakukan perubahan dari sekarang kerana dalam pilihan raya umum ke-14 nanti dijangka ada lima juta pemilih muda yang pertama kali mengundi berbanding hanya 2.5 juta dalam pilihan raya umum lepas.
Selain itu kata Muhamad Guntor Tobeng, pemilihan Mukhriz juga akan mengembalikan tradisi iaitu ada wakil kerajaan negeri di peringkat naib presiden seperti ketika tahun-tahun 1990-an.
Jawatan naib presiden Umno kini disandang oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah) dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Menteri Pertahanan).
Ketiga-tiga mereka telah menyatakan hasrat untuk mempertahan jawatan itu.
Selain Mukhriz, dua lagi pemimpin turut mengumumkan hasrat bertanding dalam pemilihan naib presiden kali ini iaitu Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad dan bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.
Sementara itu di JOHOR BAHRU, Ketua Umno Bahagian Johor Baru Tan Sri Shahrir Abdul Samad menyokong keputusan Mukhriz untuk bertanding jawatan berkenaan.
Beliau berkata sistem pemilihan yang terbuka itu akan menggalakkan lebih ramai pemimpin muda membarisi pucuk pimpinan parti, sekali gus menjadi pemimpin pelapis untuk masa akan datang.
Ini satu perubahan yang perlu disokong demi kelangsungan Umno, katanya yang ditemui selepas merasmikan Ekspo Perdagangan dan Perniagaan JB-Asean 2013.
- Bernama

