September bulan malang buat Anwar
ULASAN September bulan yang malang buat Anwar Ibrahim - bukan sekali, tapi dua kali. Dia tewas dalam dua percubaan politik besarnya.
Kali pertama, semasa beliau dijatuhkan sebagai 'orang nombor dua' dalam kerajaan dan kali kedua - apabila projek 16 September menjadi harapan yang tinggal angan-angan.
Pada September 1998, Anwar segera bangun dengan gerakan Reformasi, sebagai percubaan untuk membenam seteru politik yang menjatuhkan beliau, iaitu Mahathir Mohamad.
Dia tersilap langkah, Mahathir lebih bijak membidak catur - namun, percubaan ini separa berhasil.
Detik 20 September 1998 setidaknya mengumpulkan rakyat dari setiap pelosok kota turun ke jalan - dengan satu moto yang jelas, "keadilan".
Dia dihukum dengan tuduhan yang tak berasas, tanpa pula dibicarakan secara adil.
Tapi biasalah, sudah terhantuk baru tengadah. Jika dahulu di dalam kerajaan, Anwar juga berdiam diri dengan seribu satu alasan, tetapi, setelah itu - dia sudah tidak punya jawapan untuk membidas lagi.
Ibarat dipulangkan paku buah keras, begitulah Anwar di awal gerakan Reformasi.
Sejarah hukuman terbaik
Bukan tugas kita menghukum apa silap-nya Anwar, barangkali sejarah adalah hukuman terbaik buat dirinya. Namun, sedar tak sedar - bangsa ini banyak berjasa kepada Anwar.
Reformasi bukan sekadar monumen sejarah, tapi sebuah harapan akan Malaysia yang baru, segar dan berdaya. Tanpa seorang Anwar Ibrahim, mustahil reformasi ini jalan seiring dengan tuntutan perubahan yang menyeluruh.
Tanggal 16 September, Anwar Ibrahim dihukum lagi. Percubaan politik untuk melakukan rampasan melalui undi tidak percaya di parlimen adalah episod kegagalan Anwar.
Namun, tidak lepas daripada itu, ramai yang menjangkakan bahawa hayat politik Anwar bakal berakhir.
Dalam diam, dia mengatur strategi politik yang baru. Dia berjaya, setidaknya dalam memastikan pemberdayaan politik anti-Umno berterusan. Tanpa Anwar, manakan rakyat Malaysia semakin menjauhkan diri daripada rencam politik Melayu.
Setelah 15 tahun, peristiwa Reformasi yang mencipta sejarah besar dalam politik negara. Perubahan yang menyeluruh tampaknya masih jauh dari kenyataan. Sampai masa kita mengolah kembali makna Reformasi, Anwar Ibrahim.
Apakah reformasi masih memerlukan Anwar atau apakah reformasi mampu bergerak dengan identitinya sendiri?
Watak-watak politik Anwar Ibrahim, dewasa ini semakin hambar dan hilang keyakinan. Namun, reformasi harus diteruskan.
Sempena ulang tahun perjalanan Reformasi ke-15, wajar bagi kita menelaah kembali - maju dan undur seketika ke belakang bagi benar-benar berfikir, di mana hala tuju Reformasi?
MAHFOUZ N JAAFAR penulis bebas.

