Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rosmah: Pusat autisme RM30 juta siap 2015
Diterbitkan:  Sep 24, 2013 10:31 AM
Dikemaskini: 6:11 AM

Malaysia bakal memiliki sebuah pusat autisme yang dibangunkan di Sentul, Kuala Lumpur, kata isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Beliau berkata pusat yang dinamakan Permata Kurnia bernilai RM30 juta itu dijangka siap pada 2015.

Pada 1985, nisbah kanak-kanak autisme di Malaysia ialah seorang bagi setiap 10,000 namun angka itu kian membimbangkan.

Pada masa sama ada negara seperti Korea Selatan mencatatkan satu bagi setiap 30 orang, katanya kepada pemberita Malaysia selepas melawat Anova Center for Education, di San Rafael di San Francisco.

Ketibaan beliau disambut oleh pengasas pusat itu Andrew Bailey. Hadir sama ialah Ahli Kongres Jared Huffman.

Dalam lawatan itu Rosmah turut berkongsi pandangan mengenai pendidikan khas untuk pelajar autisme.

Anova Center for Education dibuka pada 2008 dan kini mempunyai tiga sekolah dengan keseluruhan 170 pelajar autisme. Pusat itu menjalankan rawatan secara holistik, merangkumi terapi pertuturan dan pergerakan.

Sementara itu, laman sesawang berita dan informasi di Amerika Syarikat, PacificSun.com melaporkan pada Isnin, lawatan Rosmah ke Anova Center for Education bertujuan mempelajari lebih lanjut mengenai falsafah pendidikan untuk kanak-kanak dan orang dewasa dalam spektrum autisme.

Menurut portal itu minat isteri perdana menteri dalam pendidikan untuk golongan berkeperluan khas bukan sekadar minat biasa.

"Beliau mewujudkan program pendidikan awal kanak-kanak Permata di Malaysia yang setakat ini mempunyai 650 fasiliti di seluruh negara. Beliau juga meneraju projek Permata untuk membangunkan program bagi kanak-kanak autisme dan penyakit berkaitan di Malaysia," lapor portal itu.

Menurut portal itu, dalam lawatan Rosmah ke pusat berkenaan, beliau berminat mengenai pemupukan kemahiran mandiri selain pembentukan keyakinan yang diperlukan untuk kejayaan di sekolah, rumah dan tempat kerja.

Rosmah juga dilapor mengadakan perbincangan dengan pentadbir sekolah itu bagi memungkinkan bantuan kepada Malaysia untuk membangunkan program serupa.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS