17 restoran tomyam di P Pinang diarah tutup
Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang mengarahkan 17 premis menjual tomyam di negeri itu ditutup setelah gagal mematuhi peraturan kebersihan.
Timbalan Pengarah Kesihatan (Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan) Ku Nafishah Ku Ariffin berkata 'Ops Tomyam' selama tujuh jam berakhir 1 pagi itu turut mendapati 61 peratus daripada premis tersebut tidak memiliki lesen perniagaan.
"Penutupan premis didapati 100 peratus di daerah Seberang Perai Tengah bagi premis yang diperiksa. Malah dalam operasi itu, pihak berkuasa telah mengeluarkan kompaun berjumlah RM8,680.
"Antara kes lain adalah bau kencing tikus, tahi tikus, kehadiran tikus serta anak-anak lipas dalam premis dan pengunaan makanan dari tin yang berkarat," katanya dalam sidang akhbar di George Town hari ini.
Beliau berkata sebanyak 28 premis makanan diperiksa iaitu lima di Seberang Perai Selatan, Timur Laut (empat), Seberang Perai Utara (empat), Barat Daya (10) dan lima di Seberang Perai Tengah.
Ku Nafishah berkata pemilik premis makanan yang diarah tutup perlu melakukan kerja-kerja pembersihan dan akan diperiksa semula sebelum dibenar berniaga semula.
Beliau turut menggesa pemilik premis makanan supaya mendaftar dengan Kementerian Kesihatan dan sekiranya gagal berbuat demikian akan dikenakan kompaun RM10,000 mengikut Akta Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
Orang ramai boleh menghubungi jabatan itu di talian 04-2017277 jika mempunyai sebarang aduan melibatkan premis makanan kotor di negeri ini.
- Bernama

