Peminat seni khat kaligrafi berpeluang menimba ilmu daripada lapan tokoh terkenal dunia dalam bidang itu sepanjang Festival Kesenian Islam Antarabangsa Terengganu 2013 (TIIAF 2013) di Taman Tamandun Islam (TTI) bermula 15 November depan.

    

Pengerusi Jawatankuasa Kerja TIIAF 2013 Datuk Zubir Embong berkata empat tokoh khat tersohor dari Turki iaitu Hasan Vhelebi, Dawood Bektas, Mumtaz Durdu dan Efdaluddin Kilik telah menyatakan persetujuan menjadi juri pertandingan seni khat sempena festival itu.

    

"Selain itu, Adnan Sheikh Osman dari Syria, Ziyad Al-Muhandis (Iraq) serta Shereen Abd El Sabeer (Mesir) turut bersetuju menjadi juri. Lebih istimewa Ketua Pengarah, Research Center for Islamic History, Art and Culture (IRCICA) (di Istanbul) Dr Halit Eren juga akan hadir," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu.

    

TIIAF 2013 akan menampilkan pertandingan seni khat peringkat antarabangsa dan kebangsaan yang dijangka disertai 100 pengiat kaligrafi berpengalaman dari 20 buah negara.

    

Bermula tahun ini, satu produk baru diperkenalkan iaitu seni corak batik bermotifkan khat untuk mempelbagaikan produk berasaskan kaligrafi.

    

Zubir berkata sempena TIIAF 2013,  TTI turut menganjurkan ekspo produk berasaskan pakaian, hasil seni, makanan, pertunjukan batik, serta acara sukan rakyat.

    

"Pada sebelah malam pula, persembahan muzikhat iaitu persembahan konsert muzikal berkonsepkan zikir dan peralatan muzik tradisional di samping forum bicara agama oleh tokoh agama yang dipilih," katanya.

    

Festival tiga hari itu dianjurkan TTI Management Sdn Bhd dengan sokongan kerajaan negeri dan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu. Masuk adalah percuma.

- Bernama