Wanita P Pinang tetap sokong Shahrizat
Pergerakan Wanita Umno Pulau Pinang sekali lagi menyatakan sokongan penuh kepada Ketua Wanita Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang akan berdepan dua pencabar dalam pemilihan parti bulan depan.
Ketua Wanita Umno Pulau Pinang Zabariah Wahab berkata Shahrizat mempunyai kewibawaan untuk memimpin Wanita dan menerajui sayap parti itu.
Beliau berkata Shahrizat harus diberi peluang untuk meneruskan perjuangan agenda wanita dalam parti.
"Sepanjang menerajui kepimpinan Wanita Umno, beliau telah berjaya menambah penglibatan wanita dalam pentadbiran awam dan pembuat dasar. Jadi Wanita Pulau Pinang percaya dan yakin dengan kebolehan dan kredibiliti beliau.
"Pendirian kami tetap sama seperti sebelum ini iaitu terus memberi sokongan kepada Shahrizat," katanya kepada Bernama, di George Town hari ini.
Shahrizat yang memegang jawatan Ketua Wanita Umno sejak 2008 kali ini dicabar dua calon iaitu anggota exco Wanita Umno Datuk Maznah Mazlan dan ahli Umno seumur hidup Raihan Suleiman Palestin.
- Bernama

