Tee Keat minat kembali bersama pimpinan pusat MCA
Bekas Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat yang gagal mempertahankan jawatan tertinggi parti itu pada 2010, kini mengumumkan kesediaannya untuk kembali bersama kepimpinan pusat, dan berjanji tidak akan bersikap mengelak lagi.
Selepas terpilih sebagai perwakilan pusat bagi MCA Kubang Pasu
baru-baru ini, Ong (kiri dalam gambar) berkata beliau tidak kisah untuk bertanding jawatan bukan presiden.
"Saya tak kata yang saya tidak akan bertanding jawatan lain selain jawatan presiden... Ia adalah satu pandangan sama ada ini dianggap turun pangkat atau tidak.
"Pada saya, perlembagaan parti atau peraturan Pendaftar Pertubuhan tidak menyatakan seseorang itu tidak dibenarkan bertanding jawatan yang lebih rendah daripada yang disandangnya sebelum ini," katanya.
Bagaimanapun, Ong tidak mahu menyatakan jawatan yang beliau berhasrat untuk bertanding.
Tewas pada 2010, Ong merupakan presiden parti itu yang paling singkat memegang jawatan tersebut.
Ong berkata beliau sedia melupakan apa yang telah berlaku pada masa lalu dan bersedia untuk bekerjasama dengan kepimpinan parti itu sekarang.
"Parti perlu bergerak ke hadapan. Saya memilih untuk memaafkan.
"Paling penting, kepimpinan sekarang perlu dilengkapi dengan idea-idea baru untuk memberi harapan baru kepada rakyat," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri satu acara amal di Kuala Lumpur hari ini.
Ong berkata beliau sedih mengetahui perbalahan antara Presiden
MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek (kanan dalam gambar) dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Liow Tiong Lai (kiri dalam gambar).
"Terus terang saya katakan, jika anda katakan saya tiada perasaan apabila melihat (perbalahan) ini, ia mustahil-lah, " katanya.
Menurutnya, tugas segera bagi MCA sekarang ialah untuk melakukan muhasabah diri bagi mencari nilai kewujudannya, terutama untuk melibatkan diri dengan generasi muda.
Selepas MCA mengalami kekalahan yang paling teruk dalam sejarahnya dalam pilihan raya umum pada 5 Mei lalu, Ong berkata parti politik yang berasaskan kaum Cina itu memerlukan pemimpin berwawasan untuk menghentikannya daripada terus merudum.
Ditanya sama ada Chua dan Liow merupakan pemimpin yang berwawasan, Ong berkata, beliau tidak mengulas mengenai sesiapa dan terpulanglah kepada orang ramai untuk menilainya.

