Kerani Ladang ditemui ditetak, putus pergelangan tangan
Seorang ketua kerani sebuah estet di Chaah, dekat Labis, ditemui mati dengan kesan tetakan di tengkuk dan perut selain putus pergelangan tangan kanan, kira-kira 100 meter dari jalan utama ke ladang itu awal hari ini.
Mayat Unni Nesir Ali, 41, ditemui oleh rakannya yang juga mandur estet itu pada 6.40 pagi dan dipercayai dibunuh antara enam dan lapan jam sebelum mayatnya ditemui, kata Ketua Polis Daerah Segamat Supt Mohd Kamil Sukarmi.
Bercakap kepada pemberita di Labis semalam, Mohd Kamil berkata kali terakhir isteri mangsa melihatnya ialah pada pukul 8.30 malam kelmarin di rumah mereka di kuarters pekerja, sebelum mangsa ke rumah rakannya di estet itu.
"Menyedari suaminya tidak pulang ke rumah, isteri mangsa yang risau meminta bantuan penduduk di estet berkenaan untuk mencari mangsa," katanya.
Menurut Mohd Kamil mayat mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap berhampiran motosikal miliknya, manakala pemeriksaan polis polis mendapati dompet termasuk wang tunai dan barang berharga lain milik mangsa tidak terusik.
Polis juga tidak menemui sebarang senjata di tempat kejadian, katanya menambah kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
- Bernama

