Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah berkata beliau tidak akan berkempen untuk mengekalkan jawatan ketua Umno bahagian itu dalam pemilihan parti bulan depan.

    

Sebaliknya, beliau menyerahkan kepada perwakilan Umno untuk menentukan kedudukannya.

    

Katanya, keputusan untuk bersara daripada politik akan diputuskan apabila ada pengganti yang lebih baik daripadanya.

    

"Tidak ada niat pula untuk saya nak tarik diri daripada mempertahankan jawatan. Perkara ini terpulanglah kepada perwakilan untuk membuat keputusan, saya tidak boleh tongkat langit kerana saya adalah orang biasa," katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat Agung khairat kematian Paloh 1 Kali Ke 4 2013 di Gua Musang hari ini.

    

Dalam pemilihan parti kali ini, Tengku Razaleigh, atau Ku Li, dengan panggilan mesra, yang menerajui Umno bahagian itu sejak 1962, buat pertama kalinya bakal dicabar Ketua Pergerakan Pemuda Umno bahagian, Datuk Bazlan Baharuddin.

    

Ku Lu berkata beliau sudah memberi notis lebih awal untuk mencari bakal penggantinya menerajui Umno bahagian itu dan mungkin ada orang lain lebih baik untuk menyambung tugasnya.

    

"Oleh itu, eloklah saya bagi isyarat lebih awal untuk rakyat dan kepimpinan lain supaya bersiap mencari orang yang paling layak untuk diangkat sebagai pengganti saya," katanya.

    

Sepanjang perkhidmatannya untuk rakyat Hulu Kelantan, Tengku Razaleigh berkata beliau sudah membawa banyak pembangunan termasuk membuka rancangan tanah Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) dan Felda.

    

Hisham: Ketepi emosi ketika buat pilihan

 

Di Tawau, Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengingatkan hampir 150,000 anggota Umno yang bakal memilih barisan kepimpinan Umno Oktober depan agar mengenepikan soal emosi ketika mengundi kelak.

    

Hishammudin, yang mempertahan jawatannya, berkata anggota Umno perlu memilih barisan kepimpinan parti berdasarkan kewibawaan, pengalaman serta kepimpinan pemimpin yang sudah teruji sejak sekian lama.

    

"Pemilihan dalam Umno amat penting. Pemilihan dalam kita menentukan anggota majlis  tertinggi, barisan naib presiden mestilah selari dengan kehendak mereka yang dah lalui pahit getir kepimpinan Umno dan negara.

    

"Kita boleh menawarkan diri. Kalau perwakilan kita melihat mereka ini wajar dipertahankan dan dikekalkan, kita teruskan perjuangan kita. kalau nak muka baharu, silakan. Tetapi saya percaya anggota Umno kita adalah bijak," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pemimpin bersama rakyat di Tawau hari ini.

Shafie: Calon perlu bijak perkenal diri

Di Kuala Lumpur, seorang lagi penyandang Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata calon yang bakal bertanding pada pemilihan Umno 2013 bulan depan perlu bijak menggunakan peluang dan keupayaan untuk memperkenalkan diri mereka kepada anggota parti.

    

Bagaimanapun, beliau berkata calon tidak boleh melanggar tata etika yang ditetapkan dalam perlembagaan parti itu.

    

"Ini sebenarnya meletakkan keupayaan kita, bagaimana kita boleh menonjolkan diri kita. Asalkan jangan langgar syarat, yang penting bagaimana kita boleh mendekati mereka," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Kerjaya Pemuda Barisan Nasional (BN) 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

    

Beliau mengulas syarat ketat yang ditetapkan dalam perlembagaan parti dalam pemilihan Umno tahun ini termasuk calon dilarang berkempen secara bersendirian, menjadi pelobi atau peraih undi.

    

Jawatankuasa Pemilihan Parti menetapkan calon ditegah daripada melakukan perbuatan seperti memfitnah, mempromosikan apa-apa manifesto atau berkempen di luar jadual jerayawara yang ditetapkan ibu pejabat parti.

    

Sebarang pelanggaran tataetika yang ditetapkan boleh diambil tindakan di bawah Fasal 20.9 (a)-(e) Perlembagaan Umno termasuk dibatalkan pencalonan atau dipecat daripada parti.

    

'Jauhi perkara yang rosakkan Umno'

Di Kangar, Pengerusi Perhubungan Veteran Umno Negeri Perlis Datuk Selamat Saad berkata para pemimpin Umno yang menawarkan diri bagi pelbagai jawatan dalam parti perlu menjauhi perkara yang boleh merosakkan parti dan memecahbelahkan orang Melayu, kata seorang veteran Umno hari ini.

    

Beliau berharap proses pemilihan tidak seharusnya mencemar amalan demokrasi dalam parti keramat bangsa Melayu itu.

    

Bercakap kepada Bernama hari ini, beliau yakin anggota Umno semakin matang untuk membuat pilihan mengenai pemimpin yang berkebolehan dan ikhlas untuk berkhidmat kepada agama, bangsa dan negara.

    

Selamat yang juga Yang Dipertua Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Negeri Perlis berkata Umno memberi kebebasan amat luas kepada sesiapa yang menawar diri menjadi pemimpin dan berharap penawaran tidak dilihat sebagai pertandingan.

    

"Umno mendukung maruah seseorang individu, tidak diperlekehkan dan lebih tidak bermoral kalau mereka yang bercadang untuk dipilih itu memburukkan rakan yang bersaing," kata bekas anggota Exco kerajaan negeri Perlis itu.

30 tarik diri di Kelantan

Di Kota Bharu, Seramai30 individu menarik diri daripada bertanding pelbagai jawatan peringkat bahagian dan pergerakan Umno dalam pemilihan parti di Kelantan, Oktober ini.

    

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata tiga daripadanya menarik diri untuk bertanding jawatan ketua Umno bahagian dan selebihnya pelbagai jawatan di peringkat bahagian dan sayap.

    

"Sebanyak 30 yang menarik diri ini daripada keseluruhan 2,595 calon di Kelantan. Umno Kelantan akan mengetahui senarai penuh calon yang layak bertanding pada 7 Oktober depan selepas diputuskan Umno Pusat," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan Umno Kelantan hari ini.

    

Mereka yang menarik diri ialah lima orang di Machang, Ketereh (dua), Tanah Merah (tiga), Bachok (lima), Pengkalan Chepa (tiga), Gua Musang (lima), Pasir Mas (tiga), Tanah Merah (satu), Kota Baharu (dua) dan Kuala Krai (satu).

Mustapa berkata pada mesyuarat itu, Umno Kelantan bersetuju untuk menyokong semua 14 calon yang menawarkan diri untuk bertanding di peringkat Majlis Tertinggi (MT) dan exco pergerakan.

Mereka membabitkan lima orang di peringkat MT, Wanita (lima), Pemuda (tiga) dan Puteri (satu).

    

Selain Mustapa, lima yang menawarkan diri bertanding di peringkat MT ialah Ketua Umno Bahagian Ketereh Tan Sri Annuar Musa, Ketua Umno Bahagian Pasir Puteh Zawawi Othman, Timbalan Ketua Umno Bahagian Ketereh Datuk Md Alwi Che Ahmad dan bekas Ketua Umno Bahagian Rantau Panjang Datuk Mohd Zain Ismail.

- Bernama