Tanda Putera rugi RM3.77j

   

Tayangan filem kontroversi 'Tanda Putera' tamat di pawagam awal minggu ini dengan jumlah kerugian dianggarkan sekitar RM3.77 juta.

Filem yang dihasilkan dengan kos RM4.7 juta itu hanya menarik kutipan RM930,000 selepas 25 hari di pawagam, menurut laman Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Satu lagi filem yang turut mula ditayangkan pada 29 Ogos, 'KL Zombie' berjaya mengutip sejumlah RM2.93 juta dalam tempoh sama.

'KL Zombie' dihasilkan dengan kos RM1.8 juta, kurang daripada separuh kos produksi 'Tanda Putera' dan masih ditayangkan di pawagam.

'Tanda Putera' yang merakam persahabatan di antara perdan menteri waktu itu Tun Abdul Razak Hussein dan timbalannya Tun Ismail Abdul Rahman dalam latar peristiwa 13 Mei 1969 itu dikritik kerana memaparkan perisitiwa sejarah dengan tidak jujur.

Filem tersebut tetap mengalami kerugian walau dipromosi oleh kumpulan pendesak nasionalis, yang turut menggesa akan filem berkenaan diwajibkan tayangan di sekolah dan universiti.

Filem oleh Persona Pictures Sdn Bhd dihasilkan dengan geran RM4.2 juta dari Finas.

Menurut laman 'Tanda Putera' di Facebook, filem berkenaan akan ditayangkan di luar pawagam melalui tempahan khas, yang dijangka akan memberi tambahan kutipan RM570,000.

[Baca berita penuh]

Malaysiakini
terkini untuk anda