Mukhriz kata pernah kempen untuk Najib
Calon naib presiden Umno Datuk Mukhriza Mahathir menangkis laporan yang menyebut bahawa beliau akan menjadi ancaman kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sekiranya menang dalam pemilihan parti bulan depan.
Menteri besar Kedah itu dalam laporan Berita Harian hari ini menegaskan bahawa pandangan tersebut, seperti dibangkitkan dalam laporan majalah The Economist , adalah tidak benar.
“Saya sedar ada usaha untuk cuba bangkitkan persepsi negatif terhadap penyertaan saya dalam pemilihan untuk bertanding jawatan naib presiden Umno.
“Saya tidak kisah dengan teori itum tetapi saya nak tegaskan laporan itu tidak benar sama sekali,” katanya yang menambah, beliau sendiri berkempen supaya Najib menjadi presiden Umno sebelum ini.
Majalah antarabangsa itu dalam laporannya menyebut kemenangan anak kepada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu dijangka akan menyebabkan masa depan Najib menjadi malap.
Ia berdasarkan pandangan bahawa golongan yang menentang Najib akan mendampingi Mukhriz – pemimpin yang dianggap sebagai penyambung kepimpinan Mahathir.
Muhkriz yang membangkitkan mengenai prestasi BN di Kedah berkata, beliau berharap agar dinilai berdasarkan sumbangannya.

