Seorang lagi jemaah haji Malaysia Shafei Othman, 63, meninggal dunia akibat serangan jantung di Mekah malam tadi.

Pengarah Operasi Media Tabung Haji (TH) Anis Zuhani Ahmad berkata, Shafei adalah jemaah keempat yang meninggal dunia akibat serangan jantung di tanah suci.

Beliau dilaporkan meninggal dunia pukul 9.30 malam ketika berada dalam bilik penginapan di Maktab Disyarah Al Mawadah di Mekah.

Shafei berasal dari Felda Tenam, Jertih, Terengganu datang ke tanah suci untuk menunaikan ibadah haji bersama isterinya Rafidah Mat Husin pada 26 Sept lepas.

Jenazah Shafei diurus oleh TH dan akan dikebumikan selepas solat subuh di tanah perkuburan Syara'ek.

Sebelum ini, tiga jemaah warga emas dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung di Madinah dan Makkah.

- Bernama