Menteri mahu garis panduan untuk pelumba basikal
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata kementeriannya akan berbincang dengan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia untuk membentuk garis panduan kepada pelumba basikal bagi mengelakkan risiko kemalangan di jalan raya.
Laporan Berita Harian menyebut, Khairy berkata mereka juga akan mendapatkan nasihat pakar luar negara dan mungkin akan mengikut modul latihan negara lain.
“Ini bukan kali pertama kemalangan seperti ini. Kita akan bincang dengan PKMB, perlu ada satu garis panduan yang jelas untuk mengurangkan risiko kemalangan pelumba basikal,” katanya seperti dipetik dalam laporan tersebut.
Beliau mengulas kemalangan yang sering meragut nyawa atlet lumba basikal - terbaru melibatkan kemalangan di Jalan Kuala Terengganu-Kuantan pagi semalam.
Kejadian itu meragut nyawa pelumba basikal Terengganu Asmu'i Ali, 20.
Dalam kejadian itu, Mohamad Asmu'i dilaporkan terjatuh ketika cuba mendapatkan air dari van pengiring, dan seterusnya dirempuh kenderaan tersebut.
Mangsa bersama pelumba yang lain sedang dalam misi kayuhan untuk menyertai kejohanan kriterium di Sepang Ahad ini.

