Pendaki terselamat jatuh bukit setinggi 15 meter
Kegembiraan lima sahabat mendaki Bukit Bubus dekat Dendong, Tembila di Besut bertukar menjadi detik mencemaskan apabila seorang daripada mereka terjatuh dari ketinggian 15 meter petang semalam.
Dalam kejadian 4.40 petang itu, Hazani Mohd Hassan, 25, tergelincir dan terjatuh ke kawasan berdekatan laut serta patah tangan kanan.
Ketua Pegawai Balai Bomba dan Penyelamat Besut Hasmadi Jusoh berkata Hazani berjaya diselamatkan selepas rakannya menghubungi bomba dan mangsa dibawa turun lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat, Kampung Raja menggunakan pengusung pada 5.10 petang.
"Anggota bomba menggunakan tali bagi membawa mangsa naik ke atas bukit sebelum mengusungnya menggunakan pengusung pula dari atas bukit ke bahagian belakang bukit berkenaan," katanya ketika ditemui di Besut hari ini.
Hasmadi berkata kerja menyelamat mengambil masa kira-kira 30 minit dan mangsa kini menerima rawatan lanjut di Hospital Daerah Besut.
Katanya sebelum kejadian itu, mangsa yang bekerja sendiri dan berasal dari Tanah Merah, Kelantan bersama empat rakannya mendaki bukit sebagai latihan rekreasi di waktu lapang.

