Mekanisme royalti, hak cipta penulis dikaji semula
Beberapa mekanisme berkaitan royalti, hak cipta dan insentif lain akan dikaji dan ditambah baik untuk membela dan memberi keadilan kepada penulis dan mereka yang terlibat dalam bidang penulisan tempatan.
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata langkah itu juga akan dilakukan dalam usaha menggalakkan penulisan dan penerbitan buku.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Buku Perpustakaan Negara Malaysia-RTM 2013 di Kuala Lumpur malam tadi.
Selain itu, beliau menggesa penulis tempatan supaya meningkatkan usaha menerbitkan lebih banyak judul buku sejajar dengan matlamat menjadikan negara maju menjelang 2020.
Menurutnya, penerbitan 18,000 judul buku ketika ini berada di bawah paras yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).
"Untuk mencapai status negara maju, sekurang-kurangnya 27,000 buah judul buku perlu diterbitkan iaitu sasaran penerbitan negara pada tahun 2015," katanya.
Pada majlis itu, buku berjudul 'Re-Think: A New Paradigm For Malaysian Timber' terbitan Malaysian Timber Council (MTC) dan MPH Group Publishing Sdn Bhd meraih Anugerah Perdana.
- Bernama

