TPM: Ekonomi Asia Timur perlu lebih berdaya tahan
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ekonomi Asia Timur perlu lebih berdaya tahan ketika ia mula pulih daripada kesan krisis kewangan global paling buruk antara tempoh 2007-2008.
Beliau berkata negara-negara Asia Timur perlu melihat kepada peluang masa depan dalam kalangan negara di rantau itu sendiri dan mengelak daripada terlalu bergantung kepada ekonomi negara maju.
"Kegawatan baru-baru ini dalam aliran keluar modal dan kejatuhan kadar pertukaran melibatkan negara pasaran baharu susulan prospek penurunan skim pembelian oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat wajar membuka mata kita tentang keperluan meningkat penyelarasan dalam kalangan negara di rantau ini," katanya.
Muhyiddin berkata demikian dalam ucaptama pada jamuan malam Forum Ekonomi China Dunia Kelima di Petaling Jaya malam tadi.
Timbalan Perdana Menteri mengingatkan bahawa semua negara tidak harus leka dengan tahap pencapaian sedia ada dan sebaliknya mencari ruang untuk memperbaiki aspek seperti struktur tertentu yang dilihat menjejaskan banyak negara-negara di rantau ini.
Muhyiddin menegaskan berkata cerutan infrastruktur dan kekangan kapasiti akan mengurangkan produktiviti yang menjurus kepada penurunan daya saing ekonomi negara.
Beliau berkata institusi kewangan dan awam yang kukuh juga merupakan kunci untuk menampilkan lebih banyak potensi inovatif sesebuah ekonomi supaya firma-firma mampu bergerak maju dalam rantaian nilai yang semakin bersifat global.
Dalam pada itu, beliau menarik perhatian bahawa perbezaan pendapatan yang semakin ketara boleh menjuruskan kepada keruntuhan fabrik sosial dan ketegangan yang timbul boleh membahayakan kestabilan politik sesuatu negara.
Muhyididn juga turut berkongsi dengan peserta forum berhubung pengalaman kerajaan Malaysia dalam proses transformasi negara untuk muncul sebagai negara maju menjelang 2020.
Katanya kerajaan Malaysia bersifat pragmatik dalam mengenal pasti 12 komponen paling penting yang digariskan melalui Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi (NKEA) yang menjadi penyumbang utama ke arah mencapai matlamat tersebut.
"Dalam erti kata lain, kami mahu mencapai keputusan yang besar dengan pantas dan untuk melakukan ini, kami menyalurkan sumber-sumber terhad kepada sektor-sektor ekonomi berprestasi tinggi yang akan menjana limpahan ke bidang-bidang lain," katanya.
Muhyiddin berkata seperti dalam semua jenis pembaharuan ekonomi, kerajaan perlu mengenal pasti penyelesaian yang betul dan berpendirian tegas dalam melaksanakan sesuatu dasar.
"Keazaman politik yang kukuh perlu terus wujud untuk melakukan apa yang betul demi negara walaupun ini bermakna terpaksa menghadapi tentangan pihak tertentu dalam negara," katanya.
- Bernama

