Calon naib presiden Datuk Seri Mohd Ali Rustam melahirkan rasa lega kerana Lembaga Disiplin Umno memberi kelonggaran untuk calon berkempen secara terbuka.

NONE"Sebelum ini nak minum kopi bersama rakan-rakan pun takut sebab risau disalah sangka oleh pihak lain," beliau dipetik sebagai berkata oleh Bernama.

Agensi berita nasional juga melaporkan, calon exco Wanita Umno Datuk Noraini Ahmad menyifatkan kelonggaran berkempen amat baik.

Menurutnya, sebelum ini kebanyakan calon keliru dan bimbang melanggar peraturan jika berkempen.

"Ada yang kata tidak boleh berkempen termasuk di Facebook, namun Alhamdulillah sudah diberi kelonggaran dan seharusnya dimanfaatkan calon," beliau dipetik sebagai berkata.

Sementara itu, mengulas berhubung sesi pengenalan calon untuk pemilihan, anggota Parlimen Parit Sulong itu berkata, ia bagus namun terlalu padat dan begitu hampir dengan tarikh pemilihan.

Sepatutnya jelajah begini diatur lebih awal bagi memudahkan calon bergerak, katanya.