Pendapatan industri kandungan kreatif dijangka meningkat
Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menjangkakan pendapatan daripada industri kandungan kreatif Malaysia meningkat tahun ini berikutan sokongan serta pembabitan aktif kerajaan dalam mewujudkan infrastruktur yang diperlukan.
Kenyataan Finas semalam menyebut tahun 2012 menyaksikan industri kandungan kreatif Malaysia menjana US$4 bilion untuk negara.
Malaysia, katanya, sudah mencipta nama sebagai pencabar dalam industri berkenaan di peringkat global, terutama bidang penerbitan bersama, pengedaran dan usaha sama.
Merujuk kecanggihan peralatan Studio Pinewood Iskandar Malaysia yang dibuka baru-baru ini, Finas berkata kemudahan yang terdapat di studio berkenaan akan membolehkan syarikat tempatan serta rakan kongsi dari luar menghasilkan kandungan bertaraf dunia dari dalam Malaysia sendiri.
Kenyataan itu dikeluarkan sempena kehadiran Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di Cannes bagi mengetuai delegasi Malaysia di MIPCOM 2013, yang diiktiraf sebagai pasaran terbesar dunia dalam industri kandungan kreatif merentasi pelbagai platform.
"Kerajaan akan terus aktif menyokong syarikat tempatan kerana kita terus bergerak ke depan bagi membangunkan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi dan seterusnya menjadi hab kreatif di Asia," kata Ahmad Shabery.
Beliau berkata Malaysia menawarkan satu pengalaman yang benar-benar unik untuk rakan kongsi asing dari segi bakat tempatan yang berbilang bahasa, keindahan alam dan sumber semulajadi, kesesuaian lokasi geografi serta kekayaan warisan pelbagai budaya.
Ahmad Shabery turut mengumumkan bahawa pembekal kandungan dari Malaysia berjaya memperoleh 13 tawaran bernilai US$50 juta (RM156 juta) di MIPCOM 2013.
Beliau berkata ini membuktikan penerimaan dunia terhadap kandungan serta bakat dari Malaysia.
- Bernama

