Penguatkuasa berbasikal Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mula ditempatkan di lima taman rekreasi di sekitar ibu kota Sabtu ini.

    

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata lima taman rekreasi itu ialah Taman Botani, Taman Tasik Titiwangsa, Taman Tasik Permaisuri, Taman Metropolitan Kepong dan Taman Metropolitan Batu.

    

Katanya inisiatif itu merupakan yang pertama di Malaysia dan ia selaras dengan usaha menjadikan Kuala Lumpur bandar raya yang mementingkan kehijauan terutama di kawasan taman serta bebas daripada asap kenderaan bermotor.

    

"Penguatkuasa berbasikal ini turut menjadi perantara dalam menyampaikan mesej dan maklumat mengenai Kuala Lumpur kepada warga kota dan pelancong selain menjadi mata dan telinga DBKL," katanya.

    

Ahmad Phesal bercakap kepada pemberita selepas menyerahkan sijil tamat latihan kursus penguatkuasaan berbasikal kepada 20 pegawai dan anggota penguatkuasa berkenaan di ibunegara hari ini.

Ahmad Phesal berkata buat permulaan, dua penguatkuasa akan bertugas mulai 8 pagi di taman-taman rekreasi berkenaan setiap hari.

Dalam pada itu, beliau berkata semua bayaran kompaun trafik DBKL boleh dibuat di pejabat pos di seluruh Kuala Lumpur mulai hari ini.

"Ini untuk permulaan sahaja dan akan diperluas ke pejabat pos di seluruh negara secara berperingkat," katanya.

    

Beliau berkata tempoh promosi bayaran kompaun RM30 untuk motosikal dan RM50 bagi kenderaan lain di pejabat pos boleh dibuat sehingga 31 Disember.

    

"Selepas tarikh itu, kadar bayaran di kaunter pejabat pos adalah seperti jadual kadar bayaran yang telah ditetapkan," katanya.

- Bernama