Akhramsyah dakwa disokong pendokong agenda Melayu
Hanya tinggal dua hari lagi menjelang pilihan raya Pemuda Umno dan suasana juga semakin panas, dengan calon Ketua Pemuda, Akhramsyah Muamar Ubaidah Sanusi muncul di Pulau Pinang bersama-sama dengan ahli PERKASA.
Akhramsyah (kanan), yang baru dilantik sebagai ketua Pemuda Umno Bendang Baru di Langkawi, dilihat mampu mengoncang kedudukan penyandangnya jawatan Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin.
Ini sebahagian besar kerana dia dilihat sebagai proksi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad, yang lantang bersuara dan masih mengenakan pengaruhnya secara terbuka di kalangan ahli Umno.
Ditanya mengenai peluangnya dalam pertandingan lima penjuru itu, Akhramsyah menyuarakan keyakinannya, dan berkata beliau mempunyai kira-kira 60 peratus sokongan daripada perwakilan yang mahukan perubahan dalam kepimpinan sayap itu.
Bercakap dalam satu sidang akhbar di Seberang Jaya hari ini, Akhramsyah berkata, perubahan ada di hati ahli Pemuda kerana ramai yang telah menyatakan rasa tidak puas hati mereka terhadap kepimpinan sekarang.
Katanya, mereka tidak begitu mengenalinya, maka persoalannya ialah sama ada beliau boleh mendapatkan undi yang cukup untuk menjadi ketua Pemuda Umno.
Bagaimanapun Akhramsyah berkata dalam lawatannya ke Pulau Pinang, beliau mendapati beberapa bahagian menyokongnya tetapi enggan menamakannya.
Pemuda Umno Pulau Pinang diketahui lebih menyokong Khairy - menantu bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi - yang berasal dari Kepala Batas.
Akhramsyah berkata perjuangan sebenar dalam Pemuda Umno terletak di antara mereka yang menyokong liberalisme, atau agenda Melayu.
Khairy yang merupakan menteri beliau dan sukan, dilihat oleh banyak pihak sebagai liberal dan populis.
Beliau juga percaya bahawa Pemuda Umno harus menjadi kumpulan pendesak untuk menuntut lebih banyak faedah kepada orang Melayu, dan bukan hanya menganjurkan aktiviti untuk masyarakat.
Akhramsyah mendakwa bahawa mereka yang menyokong agenda Melayu menyokongnya dan mereka perlu diiktiraf telah menyumbang kepada kejayaan Umno dalam pilihan raya yang lalu.
Ditanya sama ada percampurannya dengan PERKASA, sebuah badan pro-Melayu yang lantang bersuara, akan menjadi faktor negatif dalam kempennya, Akhramsyah berkata, beliau tidak fikir begitu.
Menurutnya, beliau tidak boleh berkempen secara terbuka tetapi akan hadir untuk memperkenalkan diri di majlis-majlis NGO yang telah menjemputnya.
Jika Khairy mengekalkan jawatannya, Akhramsyah berkata beliau mungkin merenggangkan dirinya dari sayap tersebut kerana beliau mempunyai falsafah politik yang sama sekali berbeza daripada kepimpinan pergerakan itu.

