Pembekal jamin harga tak naik pada Aidiladha
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hasan Malek berkata pembekal barangan keperluan memberi jaminan harga tidak naik menjelang Aidiladha Selasa depan.
Beliau berkata jaminan itu diberikan pembekal berkenaan dan pengusaha restoran dalam mesyuarat yang diadakan dengan pihak kementerian baru-baru ini, malah berjanji bekalan akan dipertingkat untuk keperluan orang ramai.
"Mereka yang terbabit dalam pembekalan makanan termasuk daging lembu dan kambing, ikan, ayam dan telur memberi jaminan harga tidak dinaikkan," katanya kepada pemberita selepas Program Sembang Koperasi di Besut semalam.
Bagaimanapun, katanya pihak kementerian akan membuat pemantauan bagi memastikan harga barangan keperluan tidak dinaikkan.
Mengenai dakwaan sebuah restoran di Kota Baharu, Kelantan mengenakan bayaran tinggi dan tidak munasabah kepada sekumpulan anggota Umno beberapa hari lalu, Hasan berkata jika terdapat keraguan boleh membuat aduan kepada pihak kementerian dengan menyertakan resit bayaran.
Dalam ucapannya sebelum itu, beliau berkata bilangan koperasi meningkat daripada 6,084 buah pada 2008 kepada 10,769 sehingga bulan lepas dengan jumlah keanggotaan 7.57 juta.
Beliau yakin perkembangan tersebut akan membolehkan koperasi di seluruh negara meningkatkan perolehan kepada RM32.97 bilion menjelang akhir tahun ini berbanding RM31.10 bilion akhir tahun lepas.
Hasan berkata Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah menyediakan pelan tindakan untuk membangunkan sektor koperasi melalui Dasar Koperasi Negara 2011-2020 dengan memberikan penekanan kepada lima sektor ekonomi membabitkan kewangan, pemborongan dan peruncitan, pelancongan, penjagaan diri dan kesihatan, pertanian dan industri asas tani dan perladangan.
- Bernama

