Anggota Jawatankuasa Pusat (CC) MCA Datuk Seri Ong Ka Chuan hari ini mendesak agar mesyuarat agung luar biasa (EGM) parti yang diadakan untuk menegur Timbalan Presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai dibatalkan.

    

Ong berkata penganjuran EGM berkenaan yang dijadualkan 20 Okt ini juga tidak munasabah tatkala parti sedang bersedia menghadapi pemilihan pada Disember ini.

    

"Saya bukan mahu memihak kepada Liow, tetapi dia mewakili golongan muda yang dilatih dan diasuh pada satu ketika untuk mengambil alih pucuk pimpinan. Kalau kita buat EGM untuk mencela seorang pemimpin dari golongan muda, saya rasa ini satu perkara yang sangat zalim, tidak patut," katanya kepada pemberita di Ipoh.

Ong juga berpandangan jika EGM itu perlu diteruskan, agenda mencela Liow harus digugurkan.

    

Beliau juga tidak menolak kemungkinan EGM itu ada kaitan dengan hasrat Liow untuk bertanding jawatan presiden dalam pemilihan parti nanti.

"(Datuk Seri) Dr Chua (Soi Lek) kata dia tidak akan bertanding... siapa yang bertanding lawan Liow saya tidak tahu, tetapi sejak dia (Liow) umum bertanding presiden dan satu persatu perkara berlaku, saya rasa ada kena-mengena," katanya.

Sambil melahirkan rasa dukacita dengan perkembangan terkini dalam MCA itu, beliau berkata andai resolusi terhadap Liow diluluskan, peluangnya dalam pemilihan kelak akan terjejas.

    

"Berilah dia (Liow) peluang bertanding pada pemilihan MCA akan datang, sama ada dia jadi presiden atau tidak terpulang kepada perwakilan, tetapi kita tidak harus jejaskan peluang dia...EGM untuk mencela  pemimpin yang berpotensi untuk bertanding adalah sesuatu yang tidak kena," kata Anggota Parlimen Tanjung Malim itu lagi.

    

Ong juga berpandangan tidak perlu diadakan EGM untuk memutuskan mengenai kewajaran anggota MCA memegang jawatan dalam kerajaan memandangkan parti itu akan mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) tidak lama lagi.

    

"...kalau kita buat keputusan pada masa itu (AGM), saya berpendapat tidak terlalu lewat," katanya yang turut berpandangan MCA seharusnya menerima jawatan dalam kerajaan.

    

MCA memutuskan untuk mengadakan EGM itu bagi membincangkan beberapa agenda termasuk menegur Liow kerana dikatakan tidak menghormati keputusan CC yang menarik balik penggantungan tiga tahun keanggotaan Setiausaha Penganjur Datuk Tee Siew Keong kerana menerima jawatan exco dalam kerajaan Johor.

- Bernama