Perwakilan Puteri bawa bayi dua bulan
Mempunyai anak kecil yang menyusu badan tidak menghalang Nadhirah Mohd Nasir, 27, menghadiri mesyuarat Puteri Umno dan menunaikan tanggungjawab untuk memilih pemimpin pergerakan sayap itu, hari ini.
Perwakilan Puteri Umno cawangan Bayan Lepas itu tiba seawal jam 8 pagi bersama bayinya berusia dua bulan, Ahmad Nadzrin Shah.
Nadhirah, ketika ditemui berkata beliau terpaksa membawa anaknya kerana bayinya diberi susu badan.
"Saya berasa amat bersemangat untuk mengundi kerana inilah kali pertama mengundi pemimpin parti, walaupun terpaksa membawa sekali bayi saya.
"Saya membuat keputusan untuk hadir kerana saya ingin mengundi seorang pemimpin yang berwibawa untuk memimpin negara," katanya yang menyertai Puteri Umno sejak lima tahun lepas.
Nadhirah yang mengundi selepas menghadiri mesyuarat perwakilan kira-kira jam 11 pagi, berkata dengan halangan yang ditempuh itu, beliau berharap pemimpin-pemimpin yang terpilih dapat membangkitkan isu-isu berhubung wanita.
- Bernama

