Dua pegawai polis PP ditahan kerja didakwa menghasut
Dua pegawai polis kontinjen Pulau Pinang ditahan kerja ekoran mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan perkauman menerusi aplikasi WhatsApp kumpulan Ops Cantas di George Town hari ini.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata dua anggota polis itu ditahan kerja berkuatkuasa serta-merta selepas menerima arahan dari Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.
"Kedua-dua mereka ditahan kerja selama dua minggu bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan ringkas di George Town.
Beliau berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang tindakan atau perlakuan yang menjejaskan keharmonian masyarakat di negeri ini biarpun ia melibatkan anggota polis sendiri.
Abdul Rahim berkata sidang media mengenainya akan dimaklumkan kemudian.
WhatsApp kumpulan Ops Cantas itu disertai anggota polis.
- Bernama

