Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil yang dijangka mempertahankan jawatannya mahu kemenangan beliau menjadi teladan kepada golongan wanita yang merasakan hidup mereka sudah tiada harapan.

Walaupun belum berhasrat meraikan kemenangannya selagi keputusan rasmi tidak diumumkan, Shahrizat berkata dua tahun yang lampau adalah satu cabaran yang menjadi ujian kepada kepimpinanya.

"Selama dua tahun lepas, saya telah membina kekuatan dalaman oleh kerana tragedi yang terpaksa saya lalui.

"Saya tahu apa yang saya tidak buat dan saya terus mara kerana saya mahu jadi contoh teladan kepada wanita yang merasakan hidup mereka tiada harapan walaupun ia sebenarnya tidak begitu.

"Saya mahu mereka memikirkan tentang Kak Ijat. Saya mahu jadi contoh teladan itu.

"Satu obor harapan buat mereka yang merasakan hidup ini tiada harapan," katanya ketika bercakap kepada pemberita di ibu pejabat di Umno malam ini.

Beliau merujuk kepada isu yang melanda keluarganya yang membabitkan National Feedlot Corporation (NFC).

Shahrizat yang mempertahankan jawatannya dicabar Raihan Sulaiman Palestin dan Datuk Maznah Mazlan.

Setakat malam ini, Shahrizat mendahului dengan selesa dan dijangka akan terus mempertahankan jawatannya.

Beliau yang kalah dalam pilihan raya umum tahun 2008 tidak dilantik semula sebagai senator selepas penggalnya tamat.

Beliau juga tidak dicalonkan semula untuk bertanding kerusi parlimen Lembah Pantai dalam pilihan raya umum ke-13.

Namun, karier politik beliau mendapat nafas baru apabila dilantik sebagai penasihat bertaraf menteri selepas berjaya menggembleng Wanita Umno membantu BN memenangi pilihan raya yang lalu.

Menurut Shahrizat, beliau yakin semua cabaran tersebut menjadi batu asas buat orang ramai menilai kepimpinannya dalam waktu krisis.

"Ia amat menyakitkan buat saya, keluarga saya dan Wanita Umno.

"Macam-macam tohmahan dilemparkan kepada saya namun kita ini pemimpin.

"Pemimpin ini dinilai bukan sahaja sewaktu krisis tetapi juga bagaimana beliau mengendalikan krisis itu," katanya.