Kepulauan Solomon buka Suruhanjaya Tinggi di KL
Kepulauan Solomon membuka pejabat Suruhanjaya Tinggi di Kuala Lumpur, menandakan permulaan baharu dalam hubungan dua hala Malaysia dan negara berkenaan, yang bakal memberi manfaat lebih besar kepada kedua-dua negara.
Menurut kenyataan Kementerian Luar, pejabat Perwakilan Diplomatik itu dirasmikan Perdana Menteri Kepulauan Solomon Gordon Darcy Lilo. Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Anifah Aman merupakan tetamu kehormat.
Kunjungan Lilo ke negara ini adalah sempena pembukaan pejabat Suruhanjaya Tinggi Kepulauan Soloman di Malaysia semalam.
Ini merupakan pejabat Perwakilan Diplomatik kesembilan negara itu yang diwujud sejak kemerdekaannya pada 1978.
Kenyataan Wisma Putra menyebut Anifah menyambut baik keputusan kerajaan Kepulauan Solomon membuka pejabat Perwakilan Diplomatik pertamanya di Asia Tenggara dan memberi jaminan bahawa Malaysia komited menjalin kerjasama erat bagi menggalakkan kolaborasi dua hala dalam semua sektor.
Anifah berkata lawatan Lilo merupakan peristiwa penting dalam hubungan dua hala kedua-dua negara serta tepat pada masanya ketika Malaysia memulakan langkah memperkukuh dan memperluas kerjasama di luar skop Program Kerjasama Teknikal Malaysia.
Hubungan diplomatik Malaysia dan Kepulauan Solomon wujud pada 1988.
Anifah turut menekankan bahawa beberapa bidang berpotensi yang boleh diteroka kedua-dua negara iaitu pendidikan, perikanan dan pelancongan selain menggalakkan hubungan sesama rakyat menerusi pertukaran lawatan dan pautan sektor swasta.
Beliau turut menawarkan untuk berkongsi agenda pembangunan Malaysia menerusi Program Transformasi Kerajaan (GTP).
Anifah turut meminta sokongan Kepulauan Solomon kerana Malaysia akan bertanding bagi kerusi tidak tetap dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk sesi 2015-2016.
Sementara itu, Lilo berkata keputusan membuka pejabat Perwakilan Diplomatik di Kuala Lumpur ialah sebagai mengiktiraf peranan Malaysia sebagai pemain utama di Asia Pasifik dan model kemakmuran ekonomi serta keharmonian pelbagai kaum.
"Kami berminat untuk belajar daripada Malaysia serta berkongsi pengalaman dalam bidang yang disasar terutama bagi pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (SME)," katanya.
Terdahulu, Lilo melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di pejabat beliau di Kompleks Perdana Putra dan membincangkan isu berkaitan kepentingan dua hala pada pertemuan 30 minit itu.
Beliau dijadual berangkat pulang esok.
- Bernama

