Badan Perhubungan Umno Perak hari ini mendesak Jawatankuasa Pemilihan Umno pusat supaya membenarkan keputusan pemilihan anggota Majlis Tertinggi (MT) parti Sabtu ini diumumkan di hadapan perwakilan bahagian masing-masing.

    

Setiausahanya, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib berkata selain itu, setiap keputusan hendaklah disahkan oleh pengerusi pemilihan Umno peringkat bahagian dan wakil calon yang dilantik serta salinan keputusan diserahkan kepada Badan Perhubungan Umno negeri dan setiausaha bahagian sebagai rekod.

    

"Langkah ini bertujuan untuk meningkatkan lagi ketelusan dan keterbukaan dalam proses pemilihan jawatan-jawatan dalam Umno, sebagaimana yang dikehendaki oleh pucuk pimpinan parti dan anggota akar umbi.

    

"Perwakilan bahagian perlu mendapat hak untuk mengetahui keputusan hasil daripada pengundian yang mereka buat," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya arahan yang menghalang pengumuman keputusan bagi jawatan-jawatan peringkat tertinggi parti dibuat di peringkat bahagian adalah terlalu janggal dan boleh mengurangkan kepercayaan anggota parti terhadap ketelusan parti.

    

"Apabila parti inginkan transformasi, maka peraturan-peraturan yang mengelirukan anggota parti hendaklah diminimumkan, serta mengelakkan ianya menjurus ke arah memenuhi kepentingan pihak dan individu tertentu," katanya.

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim berkata parti itu memerlukan lebih ramai pemimpin muda menganggotai barisan kepimpinan Majlis Tertinggi  bagi menghadapi realiti dan landskap politik semasa.

   

Beliau berkata pemilihan lebih ramai pemimpin muda dapat menyediakan Umno untuk menghadapi pilihan raya umum ke-14 dan menyaingi parti lawan yang banyak membariskan pemimpin muda.

   

Berkongsi pengalaman dengan pemimpin lama dan idea segar daripada pemimpin muda sudah tentunya dapat menterjemahkan konsep meremajakan parti sekaligus mampu meraih sokongan rakyat kepada Umno," katanya kepada Bernama hari ini.

   

Razali percaya para perwakilan akan memberi ruang kepada pemimpin muda untuk membarisi kepimpinan parti bagi membolehkan Umno terus segar dan relevan, selain mewujudkan gandingan pemimpin lama dan baharu bagi memastikan keseimbangan landskap politik hari ini.

   

Beliau berkata demikian sebagai mengulas peluang pemimpin muda membarisi Majlis Tertinggi Umno pada pemilihan Sabtu ini yang melibatkan 71 calon yang ertanding jawatan timbalan pengerusi tetap, naib presiden dan anggota Majlis Tertinggi.

   

Jawatan pengerusi tetap yang disandang Tan Sri Badruddin Amiruldin, Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin diumum menang tanpa bertanding.

   

Sabtu ini, 144,297 perwakilan Umno di seluruh negara akan menentukan pucuk pimpinan parti di peringkat bahagian dan pusat secara serentak.

- Bernama