Tak etika lantik senator musim pemilihan Umno
Tidak semua ahli Umno membaca serta menitik beratkan apa yang termaktub dalam perlembagaan parti sendiri.
Ada di kalangan pemimpin yang merasakan menjadi penggerak parti jadi tetapi perlembagaan Umno sendiri seolah-olah sudah menjadi perkara kedua dalam perjuangan.
Menjelang pemilihan Umno, terdapat pemimpin bahagian yang dilantik sebagai senator.
Ini menjadi petunjuk bahawa tataetika ahli, seperti yang termaktub dalam perlembagaan dipermain-mainkan.
Di bawah, saya gariskan beberapa petikan yang mungkin boleh dijadikan panduan untuk mengenal bagaimana perlembagaan tersebut dilanggar oleh kepimpinan Umno sendiri:
PERKARA 2
2.1.2 "TEMPOH PEMILIHAN" ertinya waktu yang bermula enam (6) bulan sebelum tempoh proses pemilihan yang ditetapkan oleh Majlis Tertinggi di semua peringkat parti yang berkenaan sehinggalah enam (6) bulan selepas tamat pemilihan tersebut.
Tanpa menjejaskan apa-apa maksud di atas, perbuatan-perbuatan yang dilakukan sebelum atau selepas tempoh pemilihan itu akan diambil kira untuk menentukan niat perlakuan itu.
2.1.3. "BALASAN" termasuklah apa apa pemberian termasuklah wang ringgit, saham saham, konsesi, hadiah pakej percutian, makanan/jamuan, tambang, gelaran/anugerah dan perkara perkara lain yang dinyatakan di dalam etika tataetika ini.
3. KESETIAAN
3.1.1. Patuh kepada perlembagaan dan tataetika ahli.
5. SALAH LAKU
5.1. Rasuah/Sokongan Politik
5.1.1. Menyalahgunakan apa jua kuasa secara langsung atau tidak langsung dengan sendiri atau melalui mana mana orang lain bagi pihaknya dengan tujuan mendorong atau memaksa orang itu mengundi atau tidak mengundi mana-mana orang dalam mana-mana pemilihan parti bagi pihaknya sendiri atau bagi pihak lain.
CONTOH:
(a) Menggunakan kedudukan atau kuasanya secara salah dengan membuat janji janji, memberi pangkat, anugerah/gelaran, peluang perniagaan bagi mendapat undi.
5.1.3. Memberi atau MENERIMA atau membenarkan ahli keluarga atau mana mana orang untuk memberi atau MENERIMA bagi pihaknya, secara langsung atau secara tidak langsung, kepada atau daripada mana mana Ahli yang lain apa apa jua hadiah, benda atau faedah sama ada secara zahir atau sebaliknya bagi mendorong seseorang ahli supaya mengundi atau tidak mengundi dalam mana- mana pemilihan parti bagi pihaknya sendiri atau bagi pihak lain.
CONTOH:
Menerima sebarang bentuk hadiah atau benda sebagai imbuhan misalnya:
- Tambang percuma.
- Kemudahan perjalanan.
- Perkhidmatan.
- Saham saham.
- Konsesi.
- Kontrak.
- Hiburan.
- Gelaran atau anugerah.
Dengan tataetika ahli dan tatacara pemilihan, bagaimanapun jelas terdapat pemimpin bahagian yang menerima jawatan sebagai senator.
Kedudukannya itu memberikan kelebihan kepada beliau untuk meraih sokongan daripada perwakilan.
Jadi adakah itu boleh dikatakan ketelusan dalam pemilihan? Apa yang berlaku sebenarnya hanya akan merosakkan Umno.
Ini akan membuatkan lebih ramai orang Melayu meninggalkan Umno sendiri.
ABD RAHMAN SAMAT nama pena bagi seorang aktivis muda akar umbi Umno.

